
KUALA LUMPUR – Penyakit paru-paru merupakan antara tiga punca utama kemasukan ke hospital dan kematian di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penyakit respiratori kronik seperti asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) menjejaskan sebahagian besar penduduk negara ini.
Katanya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, sebanyak enam peratus orang dewasa dan sehingga 13 peratus kanak-kanak menghidap asma, manakala satu daripada tiga penghidap masih tidak didiagnosis.
“Tuberkulosis terus memberikan beban yang besar kepada sistem kesihatan kita, dengan kadar kejadian 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2024,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Saintifik Penyelidikan Kesihatan Global Respire di sini, hari ini.
Bagi menangani cabaran itu, Dr. Dzulkefly berkata, kerajaan sedang melaksanakan Inisiatif Paru-paru Sihat 2025–2030 menerusi pendekatan bersepadu di peringkat penjagaan kesihatan primer.
“Menjelang akhir 2026, sebanyak 902 klinik kesihatan di seluruh negara dijangka melaksanakan pendekatan bersepadu kesihatan paru-paru.
“Ini menggabungkan promosi kesihatan, saringan, usaha berhenti merokok dan laluan rujukan dalam satu kesinambungan penjagaan yang berpusatkan individu,” katanya.
Tambahnya, Malaysia turut memperluaskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengesanan awal penyakit respiratori melalui saringan sinar-X dada.
Katanya, antara usaha yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) ialah Program LungShield IHH-KKM-PDRM yang menyasarkan saringan terhadap 10,000 anggota polis trafik yang bertugas di barisan hadapan.
“KKM turut mewujudkan NALURY (Daftar Kesihatan Paru-paru Kebangsaan) bagi menyokong pemantauan dan penilaian program,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha menangani penyakit respiratori turut perlu memberi tumpuan kepada faktor penyebab, termasuk penggunaan produk merokok dan vape.
“Kita juga sedang menangani punca utama penyakit respiratori. Melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, kita melindungi golongan muda daripada pemasaran vape dan rokok elektronik yang semakin berleluasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penyakit paru-paru antara tiga punca utama masuk hospital, kematian appeared first on Kosmo Online.



