
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang didakwa mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah, dikenali dengan nama samaran “Bagok” mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Langkawi atas pertuduhan penyalahgunaan dadah selepas ditahan oleh pihak berkuasa narkotik Kedah baru-baru ini.
Tertuduh, seorang buruh tempatan berusia 47 tahun, Zuhaimi Saad, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mirza Mohamad selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, Zuhaimi didakwa menggunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ketika pemeriksaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi pada jam 11.05 malam, 10 April lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta sebatan tidak melebihi tiga kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqlima Azizi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sepanjang prosiding, mahkamah dimaklumkan bahawa Zuhaimi pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama pada 2023, yang menyebabkannya dipenjara selama enam bulan serta dikenakan pengawasan selama tiga tahun.
Tertuduh juga pernah dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan pengawasan dua tahun pada 2024 bagi kesalahan lain di bawah akta yang sama.
Mahkamah kemudian menolak permohonan jaminan dan menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen lanjut.
Kes berkenaan mendapat perhatian awam susulan laporan penahanan Bagok oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah 16 Mei lalu berkaitan aktiviti pengedaran dadah di Langkawi.
Aktiviti berkenaan turut melibatkan seorang pegawai polis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang.
Pihak berkuasa memaklumkan, tertuduh memiliki 12 rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 160 Kanun Keseksaan, lima kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, serta tiga kesalahan terdahulu di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama. - Getaran, 21 Mei 2026



.jpg)


