Sindiket Dadah Langkawi: ‘Bagok’ Dihadapkan Ke Mahkamah, Orang Kanan Dalang Utama

LocalPolitics
21 May 2026 • 10:55 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sindiket Dadah Langkawi: ‘Bagok’ Dihadapkan Ke Mahkamah, Orang Kanan Dalang Utama

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 47 tahun yang dikenali sebagai “Bagok” tiba di kompleks mahkamah Langkawi hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes dadah.

Suspek tiba menaiki trak polis dalam keadaan bergari serta dikawal ketat oleh anggota polis.

Dia dilihat memakai kemeja-T dan seluar pendek denim ketika diiring masuk ke bangunan mahkamah untuk prosiding melibatkan pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran dadah di daerah pulau peranginan tersebut.

Pihak berkuasa percaya, suspek merupakan orang kanan kepada seorang pegawai polis dikenali sebagai “Mr A”, yang didakwa menjadi dalang kepada operasi pengedaran dadah berskala besar di sekitar Langkawi.

Laporan terdahulu turut mendedahkan sindiket berkenaan dipercayai kembali aktif beberapa tahun selepas kematian ‘tokan’ dadah terkenal Langkawi, “Mat Nahar”, yang pernah digelar sebagai “Pablo Escobar Langkawi”.

Hasil siasatan mendapati beberapa ahli rangkaian sindiket semasa juga mempunyai kaitan dengan operasi narkotik Mat Nahar, sebelum mereka dipercayai menyusun semula kegiatan di bawah kepimpinan “Mr A”.

Kes berkenaan mencetuskan perhatian ramai susulan dakwaan sindiket itu beroperasi secara tersusun dan terancang di seluruh kepulauan Langkawi.

Sindiket juga dikatakan turut melibatkan individu yang mempunyai hubungan dengan pihak penguat kuasa. – Getaran, 21 Mei 2026