Penyamun gagal kebas RM82,000, sempat larikan pump gun

21 Jul 2026 • 12:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penyamun gagal kebas RM82,000, sempat larikan pump gun
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan tindakan suspek berpakaian serba hitam cuba menyamun wang tunai RM82,000 di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin.
Image from: Penyamun gagal kebas RM82,000, sempat larikan pump gun
Suspek merampas sepucuk senjata api jenis pump gun milik petugas keselamatan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha.

SHAH ALAM - Wang tunai RM82,000 berjaya diselamatkan dalam cubaan rompakan oleh seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu berlaku ketika pekerja sebuah syarikat keselamatan sedang melaksanakan pemindahan wang ke dalam van.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, petugas syarikat keselamatan terbabit kemudian dihampiri seorang lelaki yang memakai jaket gelap dan topi keledar sambil mengacukan objek menyerupai pistol revolver.

Menurut beliau, petugas keselamatan itu bagaimanapun sempat bertindak pantas dengan meletakkan beg berisi wang tunai RM82,000 ke dalam van terbabit sebelum segera menutup pintunya.

"Pada peringkat ini, suspek tidak berjaya memperoleh sebarang wang tunai. Namun, suspek telah merampas sepucuk senjata api jenis pump gun milik petugas keselamatan itu sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.

**media[3589411]**

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan mengumpulkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank serta premis berhampiran, selain rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan.

Katanya, sekatan jalan raya turut dilaksanakan susulan insiden itu dalam usaha mengesan suspek.

Tambah beliau, siasatan masih dijalankan daripada pelbagai aspek termasuk menyiasat sama ada terdapat penglibatan orang dalam atau sebaliknya.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes terbabit diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved