Suami isteri larikan diri selepas rempuh kenderaan akhirnya ditahan

2 Jul 2026 • 3:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suami isteri larikan diri selepas rempuh kenderaan akhirnya ditahan
Tangkap layar video tular memaparkan insiden kemalangan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.

KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan yang tular melibatkan sebuah kenderaan Perodua Kembara di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kedua-dua suspek berusia 50-an itu ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar jam 9 malam Rabu.

"Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek telah dibuat hari ini dan Majistret membenarkan suspek lelaki dikenakan reman selama empat hari sehingga 5 Julai manakala isterinya telah diberikan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan keputusan kes," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Shamsudin berkata, semua pengguna jalan raya dinasihati agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan dan polis tidak akan berkompromi kepada pengguna yang tidak mematuhi peraturan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya, Sarjan Kumaran Murugaya di talian 03-79662222 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, polis giat mengesan pemandu Perodua Kembara yang melarikan diri selepas memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan di Lebuhraya Persekutuan, pada 20 Jun lalu.

Shamsudin dilaporkan berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku sekitar jam 6.10 petang yang mana kenderaan itu dipandu warga tempatan berusia 59 tahun dari arah Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved