
PETALING JAYA: Penyanyi kumpulan rock terkenal Bumiputra Rockers (BPR), Joey, 63, menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu.
Berita pemergian Allahyarham atau Johari Mat Rozekhi itu dimaklumkan isterinya, Zarinah Zainal menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Difahamkan, Joey menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.11 pagi, selepas dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur berikutan rebah ketika mengadakan persembahan di Laman Santai, Istana Budaya, malam tadi.
“Assalamualaikum w.b.t. Saya, isteri kepada Johari Mat Rozekhi (Joey BPR) ingin memberitahu bahawa Johari telah kembali ke rahmatullah pada 29 Ogos 2026, 8.11 pagi sebentar tadi di hospital HKL.
“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah,” tulisnya.
Dalam pada itu, Joey sempat menyanyikan dua lagu ketika membuat persembahan sebelum rebah dan kemudiannya dikejarkan ke HKL menggunakan ambulans.
“Sampai di hospital doktor sahkan ada pendarahan. Dia juga ada komplikasi jantung tersumbat.
“Benda berlaku terlalu cepat. Joey sangat baik orangnya. Saya bertuah dapat dia.
“Harap sedekahkan al-Fatihah buatnya,” katanya.
Pemergian Joey merupakan kehilangan besar buat industri muzik tanah air, khususnya arena rock yang pernah menyaksikan kegemilangan BPR sebagai antara kumpulan rock popular sejak era 1980-an khususnya menerusi lagu seperti Aku Hanya Serangga, Dari Sinar Mata dan Seribu Tahun Takkan Mungkin. -UTUSAN
The post Penyanyi BPR, Joey meninggal dunia appeared first on Utusan Malaysia.






