
Album Inggeris pertama Velvet Aduk mendapat sambutan hangat dan memukau peminat di Crooners’ Bar
Penyanyi Kelahiran Sabah, Velvet Aduk Gegarkan Kota Kinabalu Dengan Persembahan Album Baharu. Velvet Aduk, penyanyi, penulis lagu dan penerbit terkenal dari Sabah, telah menggemparkan Kota Kinabalu, malam Sabtu. Persembahan beliau yang penuh emosi bagi album terbarunya, Darkest Knight, telah memenuhi Crooners’ Bar dan membuat para peminatnya terpegun.
Ini merupakan persembahan solo pertama beliau di tanah air selepas pelancaran album yang berjaya di Kuala Lumpur, menurut sumber. Suasana menjadi luar biasa apabila Velvet naik ke pentas untuk membawakan album Inggeris pertamanya.

Menurut Velvet, album ini mengambil masa setahun untuk disiapkan, dan persembahan ini menandakan debut pertamanya di Kota Kinabalu, kampung halamannya.
Malam bersejarah, Velvet Aduk membawakan ‘Darkest Knight’ di tanah kelahirannya
“Saya sentiasa ingin membawakan album ini secara langsung di kampung halaman saya, dan saya gembira kerana dapat melakukannya di Crooners,” kata Velvet.
Beliau menambah bahawa beliau menulis kesemua 14 lagu dalam album tersebut, dan penghasilan lagu itu dibantu oleh dua rakan baiknya, Andy O’Mail dan Brandon Laurie.
“Kami telah bekerja keras untuk album ini bersama-sama. Mereka banyak membantu saya, dan saya gembira dapat berkongsi hasil seni ini dengan para pendengar saya – sesuatu yang saya impikan kini telah menjadi kenyataan,” ujar Velvet.
Peminat lama dan baharu memenuhi tempat acara, bersama-sama menghayati lirik dan melodi yang penuh emosi daripada Velvet secara langsung. Tikel yang habis dijual ini mengukuhkan kejayaan album tersebut, berikutan pelancaran yang mendapat sambutan baik di Kuala Lumpur.
Malam itu dipenuhi dengan perjalanan muzikal Velvet, di mana beliau mempersembahkan sebanyak 21 lagu asli kepada para pendengarnya. Empat belas lagu yang memikat hati peminat dari album baharu, termasuk “Darkest Knight,” “Stars’ Not Aligned,” dan “Just a Fool.”

Beliau juga membawakan beberapa lagu kegemaran peminat seperti kolaborasi terkini dengan Alena Murang, “Bejugit Betanda Menari,” dan menutup malam dengan lagunya yang ikonik, “Sumandak Sabah.”
Acara hebat ini dijayakan hasil usaha sama Red Velvet Music, rakan radio rasmi Kupi Kupi FM Sabah, JW Promotions, Crooners’ Bar Kota Kinabalu, dan Mega Boogie Sound & Light Revolution.
Dari Akademi Fantasia ke Darkest Knight
Untuk makluman, Velvet telah berkecimpung dalam industri muzik Malaysia selama 18 tahun, mula mendapat pengiktirafan sebagai peserta akhir Akademi Fantasia 4 pada tahun 2006. Terkenal dengan gabungan unik muzik kontemporari dan bunyi tradisional Borneo, beliau telah menghasilkan banyak lagu hit tempatan, termasuk lagu popularnya “Sumandak Sabah,” yang telah mencapai lebih 18 juta tontonan di YouTube.
Pada tahun 2023, Velvet melancarkan album Inggeris pertamanya bertajuk Darkest Knight yang mengandungi 14 lagu. Pada tahun 2024, beliau dinobatkan sebagai pemenang Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) ke-15 dan juga memenangi anugerah Vokal Terbaik untuk lagu ciptaan sendiri bertajuk “Mungkin Ini Bukan Sayang?”.

