Penyasaran Subsidi RON95 Berhasil, Kerajaan Jimat RM800 Juta – PM

LocalPolitics
21 Dec 2025 • 5:56 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Kerajaan berjaya menjimatkan kira-kira RM800 juta sejak pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula pada 30 September lalu hasil langkah penyasaran subsidi petrol yang lebih berkesan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, penjimatan itu dicapai apabila subsidi petrol RON95 disasarkan khusus kepada warganegara Malaysia, sekali gus mengekang ketirisan yang sebelum ini melibatkan lebih 3.5 juta warga asing serta aktiviti penyeludupan minyak ke luar negara.

“Sejak lebih 20 tahun lalu, penyasaran subsidi minyak telah dibincangkan oleh setiap kerajaan, namun tiada yang mempunyai keberanian dan tekad politik untuk melaksanakannya.

“Kerajaan MADANI mengambil langkah berani melalui BUDI95 bagi memastikan subsidi ini benar-benar dinikmati rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, hasil penjimatan tersebut dipulangkan semula kepada rakyat melalui inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Jelas Anwar, ia juga digunakan untuk menaik taraf kemudahan awam termasuk klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara.

Di bawah pelaksanaan BUDI95, pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu aktif layak membeli petrol RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.

Sumber: FB Anwar Ibrahim

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.