
MUKADIMAH
KERJASAMA Pas-UMNO menyatupadukan kuasa politik Melayu Islam dan persediaan ke arah mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dijangka menjadi tumpuan sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 di Kelantan pada 2 hingga 5 September ini.
Penyatuan dua parti terbesar itu selain kerjasama parti-parti politik Melayu Islam yang lain dilihat menjadi keperluan mendepani realiti politik semasa sekali gus menamatkan perbalahan yang mengundang perpecahan.
WARTAWAN Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB mendapatkan Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, AHMAD ADNAN FADZIL bagi mengulas pelbagai isu termasuk harapan akar umbi bersempena muktamar kali ini.
UTUSAN: Jangkaan sempena Muktamar Tahunan Pas tahun ini?
AHMAD ADNAN: Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, kita melihat satu senario politik baharu yang cuba dibawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan penyatuan kuasa-kuasa politik Melayu Islam di Malaysia ini.
Daripada segi politik, kita mencari peluang yang memungkinkan kuasa politik Melayu Islam ini untuk berkuasa. Kalau dilihat hari ini, disebalik bangsa lain bersatu, kita orang Melayu Islam masih tidak bersatu sekali gus menyukarkan kita untuk memimpin.
Bagaimana untuk menyatukan kuasa-kuasa politik orang Melayu Islam ini? Pertama, Pas dan kedua UMNO iaitu dua parti politik Melayu Islam terbesar di dalam negara ini.
Namun sejauh mana merealisasikan kerjasama tersebut atau strategi apa yang akan dilakukan, terserah kepada kepemimpinan tertinggi putuskan dan kita ahli-ahli di peringkat bawah akan akur dan mengikut apa yang diputuskan. Dengan siapa pimpinan Pas Pusat putuskan untuk kita bekerjasama, jadi dengan pihak itulah kita akan bekerjasama.
Adakah Pas berhasrat mengadakan kerjasama dengan UMNO di Perlis?
Jauh di sudut hati, memang kita mahu kerjasama Pas atau Perikatan Nasional (PN) dengan UMNO di Perlis.
Semua kalangan Pas, PN dan Barisan Nasional (BN) boleh bekerjasama untuk kita mendepani PRU16, sekali gus membentuk kerajaan negeri bersama. Bagaimanapun terpulanglah kepada keputusan kepemimpinan parti masing-masing.
Tetapi UMNO menyatakan hasratnya untuk bertanding solo di Perlis?
Kita dengar UMNO hendak bertanding solo dan sebagainya, itu mungkin suara sesetengah UMNO, tapi suara kepimpinan UMNO, kita pun tidak pasti lagi bagaimana.
Cuma yang jelasnya, Pas masih seperti dulu dan keyakinan pengundi dilihat masih bersama Pas dan kita berpeluang mengekalkan lagi. Namun kalau bekerjasama, kuasa orang Melayu Islam ini akan bertambah kuat.
Mengapa Pas perlu kerjasama dengan UMNO?
Ia akan membentuk satu kuasa menggambarkan penyatuan Melayu Islam. Orang Melayu di Malaysia kalau hendak lihat penyatuan antara dua parti terbesar, Pas dan UMNO ataupun gabungan PN dan BN. Sepanjang sejarah pun kalau kita lihat, perjuangan yang boleh bertahan lama ini atas agama dan juga nasionalisme serta kebangsaan.
Kalau kita lihat Bani Umawi, Bani Abbasiyah, mereka semua berdiri atas agama dan semangat bangsa iaitu bangsa yang satu hati untuk mendukung perjuangan bangsa. Ia bukan bermaksud rasis.
Sama juga seperti DAP, walaupun ada ideologi namun dia tetap mempertahankan kaum Cina dan kita kena lihat seperti itu. DAP ini dia ada ideologi tapi kekuatan dia adalah daripada sokongan orang-orang Cina.
Adakah kerjasama ini sekadar penyatuan politik?
Penyatuan ini bukan dilihat daripada segi politik semata-mata sebaliknya ia juga adalah tuntutan agama. Sebenarnya apa sahaja perbezaan yang berlaku di antara kita, janganlah sampai menyebabkan berpecah. Apabila berpecah, kita memberi kemenangan percuma kepada pihak musuh.
Agama menuntut kita orang Islam untuk bersatu. Berbeza itu lumrah, tapi jangan sampai berlaku perpecahan. Bila berlaku perpecahan, kita akan sukar untuk menang.
Jadi, perpecahan ini yang merugikan orang Melayu Islam dan sebab itu perlunya penyatuan secara menyeluruh?
Bukan sahaja Melayu Islam, masyarakat dunia pada hari ini juga perlu dibawa kembali bersatu. Banyak faktor yang boleh membawa kita kepada penyatuan tetapi yang menjadi masalah apabila kita hanya melihat pada perbezaan.
Sebagai contoh, beza bagaimana sekali pun Pas dan UMNO, kedua-duanya tetap Melayu Islam.
Segala perbezaan, bincanglah, namun titik terpenting mencari persamaan. Kita orang Islam, perlu berbaik-baik dan bersatu hati.
Orang Islam kena saling bantu-membantu. Apabila kita kuat dan bersatu, secara automatik orang lain yang bukan Islam pun akan jadi baik.
Namun, sebarang kerjasama antara Pas dan UMNO akan menyebabkan berlakunya soal perebutan kerusi. Adakah dijangka menjadi masalah antara kedua-dua parti ini?
Formulanya mudah sahaja, sebagai contoh, di negeri-negeri sebelah Selatan yang menjadi kekuatan kepada UMNO, jadi kita berilah kelebihan kepada UMNO di situ. Kita bertanding juga, tapi dalam kerusi yang sedikit.
Mudah-mudahan di negeri-negeri SG4, BN pun dapatlah bersikap sama. Kena bertolak ansur sebagaimana Pas bertolak ansur di negeri-negeri sebelah Selatan seperti Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Di negeri seperti Selangor yang seimbang, kita wujudkan formula yang sama rata. Kita ada pilihan untuk berjaya dalam penyatuan ini namun kena pastikan situasi menang-menang. Apa pun, segala keputusan terserah kepada kepemimpinan.
Bercakap soal kepimpinan, adakah sudah tiba masanya Pas memberi peluang pada generasi muda untuk memimpin parti?
Kita perlu mengakui sekarang memasuki era baharu. Kepimpinan-kepimpinan sedia ada sekarang sudah berusia lebih 70 tahun.
Jadi sekarang, giliran kepimpinan berusia 50 tahun ini, mereka pula perlu melihat apa yang akan berlaku pada masa depan. Kita kena ingat, anak-anak hari ini tidak sama seperti anak-anak terdahulu.
Kita banyak tumpukan kepada kerjasama Pas dan UMNO tetapi bagaimana pula kerjasama Pas dan Bersatu?
Di dalam politik, Kalau tidak boleh lagi berkawan, maknanya kena berpisahlah, itu realitinya. Kita lihat sekarang dalam keadaan seperti ini, kena kuranglah kritikan-kritikan pedas terhadap kepimpinan Pas. Politik ini dinamik, tidak boleh satu strategi sahaja dan perlu melihat kepada keperluan realiti politik semasa bagaimana.
Bagaimana dengan krisis yang dihadapi oleh Pas Perlis?
Bila kita dalam krisis, kita kena bijak untuk menangani krisis supaya mengembalikan kekuatan Pas Perlis.
Tetapi kalau kita melihatnya sebagai negatif dengan tidak habis-habis bermain dengan isu, kita tidak muhasabah dan sebagainya akan menyebabkan ia semakin rosak.
Jadi sebab itu dalam masalah ini, pendirian saya sendiri, saya tidak akan melayan sebarang konflik. Kita akan fokus gerakkan Pas Perlis bekerja sehabis mampu.
Bagaimana dengan penerimaan rakyat terhadap Pas di Perlis ketika ini?
Selepas dilantik sebagai penyelaras DUN, ke mana-mana saya pergi, orang masih lagi selesa dengan Pas. Meskipun terdapat sedikit krisis, namun kepercayaan orang terhadap Pas masih belum hilang.
Cuma kita dalam pilihan raya, kita akan berdepan golongan-golongan muda. Golongan muda ini, cabarannya ialah dia hendak lihat siapa yang boleh membantu kelangsungan hidup mereka.
Mereka akan lihat calon diketengahkan itu dan sebab itu, saya lihat faktor calon memainkan peranan yang sangat besar untuk PRU16.
Harapan akar umbi sempena muktamar kali ini?
Akar umbi sememangnya ingin melihat Pas terus kukuh. Terus kukuh mengekalkan prestasi terbaik dalam PRU16. – UTUSAN
The post Penyatuan kuasa politik Melayu-Islam bukan bermaksud rasis appeared first on Utusan Malaysia.






