Ong Kian Ming keluar DAP, ikrar bantu KJ dalam PRU16

LocalPolitics
31 Aug 2026 • 10:51 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ong Kian Ming keluar DAP, ikrar bantu KJ dalam PRU16

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr. Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli DAP berkuat kuasa hari ini.

Bekas Ahli Parlimen DAP itu berkata, keputusan meletakkan jawatan itu bukanlah untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat bahkan tidak berhasrat bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Sebaliknya, Kian Ming berkata, beliau komited untuk menunaikan janji yang telah dibuat pada 10 Januari lalu iaitu membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meneruskan karier politiknya di masa depan.

“Saya tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan saya tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU16).

“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding.

“Saya akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain termasuk dalam podcast saya (“Are We OK”), melalui pelbagai jawatan penasihat saya dan dengan bekerjasama dengan orang lain yang berfikiran sama dengan minat yang sama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kian Ming berkata, keputusan meletakkan jawatan itu telah pun dimaklumkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke melalui satu surat peletakan jawatan berkuatkuasa hari ini.

“Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk menyumbang kepada parti dan negara melalui pelbagai cara sejak saya menyertai parti pada tahun 2012 sebagai Ahli Parlimen Serdang (2013 hingga 2018) dan Ahli Parlimen Bangi (2018 hingga 2022), sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) (2018 hingga 2020), sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang dilantik (2019 hingga 2022) dan sebagai ahli jawatankuasa negeri DAP Selangor yang dipilih (2018 hingga 2024).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada Tony Pua kerana jemputan beliau kepada saya untuk menyertai parti DAP dan panduan yang diberikan oleh beliau kepada saya tentang cara terbaik untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun yang lalu.

“Saya juga berterima kasih kepada Lim Guan Eng kerana memberi saya peluang untuk dicalonkan untuk kerusi parlimen Serdang dan Bangi dan sebagai Timbalan Menteri semasa beliau menjadi Setiausaha Agung DAP,” katanya. – UTUSAN

The post Ong Kian Ming keluar DAP, ikrar bantu KJ dalam PRU16 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved