Persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disambut baik Pemuda UMNO yang melihat perkembangan itu sebagai langkah merealisasikan agenda penyatuan ummah.

Foto: Astro Awani
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kesepakatan berkenaan membuka ruang kepada UMNO dan PAS untuk menterjemahkan gagasan Tekad Ummah melalui kerjasama dalam pilihan raya.
Menurutnya, pendekatan itu diyakini memberikan manfaat kepada masyarakat Melayu dan Islam, selain memperlihatkan usaha penyatuan yang diperjuangkan sayap berkenaan mula mendapat tempat dalam percaturan politik.
“Pemuda UMNO menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai persefahaman politik antara BN dan PAS dan sudah pasti PRN Melaka bakal menyaksikan dua parti Melayu terbesar bergabung untuk memastikan agenda penyatuan ummah dapat direalisasikan demi bangsa dan agama.
“Terima kasih kepada Presiden UMNO dan Presiden PAS atas persefahaman ini,” katanya ketika dihubungi.
Reaksi itu menyusul pengesahan Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, bahawa rundingan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka sudah dimuktamadkan.

Foto: The Star
Menerusi persefahaman tersebut, BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara PAS bersama rakan partinya akan bertanding di baki tujuh kerusi.
BN turut dijadualkan memperkenalkan barisan calonnya pada 24 Oktober di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). PAS pula dijangka mengumumkan calon pada minggu berikutnya.
Sebelum ini, Pemuda UMNO berulang kali mengetengahkan keperluan merapatkan hubungan antara parti Melayu dan Islam bagi mengurangkan perpecahan sokongan, khususnya ketika menghadapi pilihan raya.
Dr Muhamad Akmal turut konsisten membawa agenda berkenaan dengan menekankan kepentingan kerjasama antara parti yang mempunyai aspirasi sehaluan.
Dalam konteks PRN Melaka, beliau melihat persefahaman BN-PAS sebagai ruang untuk membawa usaha tersebut ke peringkat pelaksanaan, termasuk mengelakkan pertembungan sesama parti yang berkongsi matlamat sama.
Sumber: Berita Harian (Amir Mamat)






