
PETALING JAYA – Ramai sahabat tampil membeli ikan tilapia ternakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh pada harga RM100 seekor sebagai tanda sokongan kepadanya untuk membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.
Perkembangan itu menyusul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan mengambil keputusan menjual aset peribadinya bagi mengumpul wang untuk melunaskan bayaran berkenaan susulan kekalahan dalam kes saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Tindakan rakan-rakannya membeli ikan berkenaan pada harga RM100 seekor turut menjadi antara cara mereka menunjukkan sokongan tanpa sekadar menghulurkan sumbangan wang tunai.
Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang membeli meminta ikan tersebut disumbang semula kepada penduduk Merlimau.
“Macam ini lah Mal, aku beli ikan tilapia kau dengan harga RM100 seekor untuk 10 ekor dan nak minta tolong kau agihkan bagi dekat sesiapa yang memerlukan di Merlimau,” kata salah seorang sahabatnya menerusi tangkap layar WhatsApp yang dikongsikan di Facebook, Akmal Saleh hari ini.
“Salam YB Dr. Saya nak beli ikan Dr. dengan harga RM100 tapi saya nak beli seekor je. Tapi ikan ni Dr. bagi la dekat sesiapa yang memerlukan,” kata pembeli yang lain.
Sementara itu, Dr. Muhamad Akmal turut berterima kasih kepada kesemua pembeli yang telah memudahkan urusannya.
“Tidak mampu saya ucapkan satu persatu. Hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga dari diri ini. Terima kasih sekali lagi,” katanya.
Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan beliau turut menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV untuk dijual selepas mendapati wang simpanannya masih tidak mencukupi bagi menjelaskan jumlah ganti rugi dan kos mahkamah berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua aset itu sudah habis dibayar dan antara harta yang boleh dilepaskan bagi menampung bayaran tersebut.
Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan Dr. Muhamad Akmal membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa berhubung saman fitnah yang difailkan pada Oktober 2024.
Kes itu berpunca daripada kenyataan menerusi video yang dimuat naik Dr. Muhamad Akmal di media sosial pada September 2024 berkaitan isu cadangan mewajibkan pensijilan halal terhadap restoran dan perniagaan makanan tertentu. – KOSMO! ONLINE
The post Ramai sahabat beli ikan tilapia Akmal Saleh RM100 seekor appeared first on Kosmo Online.






