SHAH ALAM – Penyatuan ummah diwajibkan, manakala perpecahan diharamkan, selaras dengan tuntutan melaksanakan segala arahan dan perintah ALLAH SWT termasuk amar makruf nahi mungkar.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya berkeyakinan bahawa ketentuan syurga dan neraka adalah di tangan ALLAH SWT sekiranya segala arahan dan perintah-Nya dilaksanakan.
Menurutnya, Pas adalah bahtera yang bersifat jemaah atau parti yang diwajibkan melaksanakan perintah ALLAH SWT dan menyahut seruan-Nya kerana telah ditetapkan janji-Nya.
“Pas terus beristiqamah sejak para ulama dan pemimpin Islam membina bahtera ini.
“Ahli Pas diwajibkan wala’ kepada ALLAH dan Rasul, serta para pemimpin yang setia kepada tujuan Pas ditubuhkan bagi melakukan perjalanan ‘road map’ mengikut ketetapan Allah dengan beristiqamah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran terbaharu Minda Presiden Pas yang turut memetik firman ALLAH SWT daripada Surah al-An‘am, ayat 153, mengenai jalan ALLAH yang lurus dan larangan mengikuti jalan-jalan lain yang boleh mencerai-beraikan manusia daripada jalan-Nya.
Menurut Abdul Hadi, ramai yang tidak bersedia kerana tidak tertahan dengan banyaknya ujian selain berdepan bisikan syaitan yang meragukan dengan pelbagai dalih untuk menolak, bukannya berdasarkan dalil.
Beliau berkata, ALLAH SWT memerintahkan umat Islam mengambil teladan daripada para anbiya’ yang percaya kepada janji syurga, bukannya percaya kepada ahli falsafah dan pemikir yang tidak beriman yang sangat dibanggakan seperti Mahatma Gandhi, Nelson Mandela dan sebagainya.
Katanya, perkara itu sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 214, yang mengingatkan mengenai ujian terhadap umat terdahulu sehingga rasul dan orang beriman bersamanya bertanya bilakah datangnya pertolongan ALLAH SWT.
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah datangnya pertolongan ALLAH?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu amat dekat,” katanya memetik ayat berkenaan.
Abdul Hadi berkata, Pas adalah bahtera perjalanan yang wajib diadakan dan pihaknya percaya kepada bahtera serta kompasnya kerana percaya kepada janji ALLAH SWT dengan syarat-syaratnya.
Menurutnya, perkara itu tidak sama dengan ramalan semua manusia sama ada dalam kalangan ahli akademik, ahli politik, mahupun mereka yang sekadar berselera dengan politik atau benci akan politik.
Beliau turut memetik firman ALLAH SWT dalam Surah al-Kahfi, ayat 29 hingga 31, yang menerangkan mengenai golongan zalim yang disediakan neraka serta golongan beriman dan beramal soleh yang dijanjikan Syurga ‘Adn.
“Pas sedia bermuzakarah dengan ilmu dan berakhlak mencari kebenaran dengan sesiapa sahaja, serta berwawasan dunia sehingga akhirat,” katanya.



