
PETALING JAYA– Penyatuan ummah merupakan perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan dan bukannya permainan politik, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, umat Islam wajib bersatu dalam perkara rukun dan dasar agama, manakala perbezaan dalam perkara cabang perlu ditangani dengan sikap bertolak ansur serta saling menghormati.
“Penyatuan ummah adalah perintah Allah yang wajib dilaksanakan, bukan permainan politik,” katanya menerusi kenyataan Minda Presiden Pas.
Menurut Abdul Hadi, tafarraq merujuk perpecahan dalam perkara dasar dan rukun, manakala khilaf pula berkaitan perbezaan dalam perkara cabang.
Katanya, umat Islam juga perlu menjaga hubungan kemanusiaan walaupun berbeza agama dan bangsa serta berlaku adil terhadap semua pihak.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi berkata Pas membatalkan kerjasama dengan parti yang tidak beristiqamah menjadikan Islam sebagai al-din.
“Ini yang ditegaskan dalam Perlembagaan Parti Islam Se-Malaysia (Pas). Inilah sempadan kerjasama Pas dengan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, Pas akan terus beristiqamah melaksanakan perintah Allah dan bersedia bermuzakarah dengan mana-mana pihak berasaskan ilmu serta akhlak dalam usaha mencari kebenaran.- KOSMO! ONLINE
The post Penyatuan ummah diwajibkan, berpecah diharamkan – Presiden Pas appeared first on Kosmo Digital.





