Penyelam Malaysia maut dihanyut arus di Aceh

LocalTravel
2 Jun 2025 • 7:46 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Percutian seorang rakyat Malaysia bersama isteri dan rakan-rakan ke Aceh bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut ketika menjalani aktiviti menyelam di perairan Iboih, Kota Sabang, Sabtu lalu.

Mangsa, Haikal Rafie Halim, 33, menyertai aktiviti selaman bersama dua rakan senegara dan seorang jurulatih tempatan sekitar jam 9.30 pagi waktu tempatan. Selepas 20 minit berada pada kedalaman 30 meter, mereka dihanyutkan arus bawah laut yang kuat.

Ketua Polis Sabang, Sukoco berkata, Haikal dipercayai panik dan diarahkan segera naik ke permukaan. Namun, sebaik tiba di atas, mangsa didapati tidak sedarkan diri dan terdapat buih pada mulutnya.

Mangsa kemudian dibawa menaiki bot laju ke Pantai Iboih dan seterusnya ke pusat kesihatan. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.50 pagi. Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kota Sabang untuk proses bedah siasat.

Anak banyak berdiam

Menurut bapanya, Halim Abu Hassan, Haikal bercuti ke Aceh bersama isteri dan kira-kira 10 rakan sejak Khamis lalu. Haikal sememangnya aktif melakukan aktiviti menyelam di banyak lokasi sebelum ini.

“Anak saya memang gemar melakukan aktiviti menyelam dan banyak tempat sudah dia pergi bersama rakan-rakan dan isterinya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

“Mereka juga ada menghubungi isteri saya dan kami sempat memberi kata-kata ucapan dan selamat berada di sana. Malah, sebaik sampai di sana menantu saya sempat menghantar gambar dan membuat panggilan video ketika berada chalet di sana (Acheh).

“Namun ketika itu anak saya lebih banyak diam dan menantu yang berbual lama dengan kami,” katanya lagi.

Halim hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya selepas menerima panggilan daripada rakan Haikal sekitar jam 1.30 tengah hari.

“Cuma apa yang berlaku sebenarnya saya masih tidak tahu, tambahan pula menantu saya masih dalam keadaan tidak stabil untuk bercerita,” ujarnya.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Shahril Nizam Abdul Malek mengesahkan jenazah telah diterbangkan pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Aceh ke KLIA pada jam 4.55 petang Ahad.

Jenazah tiba di Masjid Kampung Melayu Rasa dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudah Assakinah, Hulu Selangor pada jam 12 tengah malam.