Penyelenggaraan dua terminal jejaskan penghantaran LNG dari Kompleks Petronas di Bintulu - Reuters

22/05/2025 - 16:23
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 22 Mei – Penyelenggaraan dua terminal di kompleks loji gas asli cecair (LNG) Bintulu milik Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) sedang dijalankan, sekali gus menyebabkan kelewatan pemuatan dan eksport LNG dari fasiliti eksport terbesar Asia, menurut laporan Reuters.
Terminal Malaysia LNG Satu dijangka beroperasi semula pada 24 Mei, diikuti MLNG Dua pada 26 Mei, sekali gus membolehkan MLNG Tiga mencapai kapasiti penuh.
Aktiviti LNG di kompleks LNG milik Petronas dilaporkan perlahan susulan kerja penyelenggaraan di dua terminal utama, sekali gus menyebabkan sekurang-kurangnya 10 kapal menunggu giliran untuk memuatkan kargo.
Kompleks LNG Bintulu yang dikendalikan syarikat milik kerajaan itu merangkumi sembilan loji pengeluaran dengan kapasiti keseluruhan hampir 30 juta tan metrik setahun, dikendalikan oleh empat pengendali berasingan.
Tiada sebarang aktiviti pemuatan berlaku pada 7-8 Mei, 10-13 Mei, 16-17 Mei, dan 20 Mei berbanding hampir setiap hari pada Mac.
Antara kapal yang masih menunggu untuk memuatkan kargo termasuk Seri Balhaf, Puteri Nilam dan Seri Anggun, yang masing-masing dijadual berlepas pada 9, 13, dan 14 Mei.
Sumber industri memaklumkan aktiviti pemuatan di terminal berkenaan berjalan perlahan sepanjang bulan ini.
Sebelum ini, MLNG Satu dan Dua turut mengalami gangguan pengeluaran pada April. Ketika itu, Petronas memaklumkan aktiviti pemulihan dan penyambungan semula operasi sedang dijalankan.
Petronas belum memberikan sebarang maklum balas rasmi berhubung perkembangan itu.- DagangNews.com
standard


