Petronas Dagangan, Blueshark jalin usaha sama pacu penggunaan motosikal elektrik di Malaysia

14/05/2025 - 09:38
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 14 Mei – Petronas Dagangan Bhd dan Blueshark Ecosystem Sdn Bhd menjalin usaha sama (JV) bagi memacu penggunaan motosikal elektrik dua roda (2W-EV) dan rumusan tenaga berkaitan, selaras dengan agenda mobiliti rendah karbon di Malaysia.
Blueshark dilantik sebagai pengedar eksklusif motosikal elektrik jenama itu di Malaysia, termasuk model Soloera, serta akan mengendalikan perkhidmatan pertukaran bateri di stesen Petronas terpilih.
Perkhidmatan itu kini beroperasi di Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor dengan pelaksanaan pengembangan secara berperingkat.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, usaha sama itu menunjukkan komitmen syarikat dalam membentuk ekosistem mobiliti yang lebih mampan selaras dengan peranan baharunya sebagai rakan tenaga dan rumusan progresif.
"Dengan sokongan rakan strategik serta kekuatan jenama, rangkaian, dan kecekapan operasi kami, kami yakin dapat membina ekosistem masa depan yang memberi nilai nyata kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

Sharkgulf Technologies Group Ltd, pembangun asal dan penyedia teknologi platform Blueshark akan membekalkan sistem bateri pintar, rangkaian kuasa bersambung, dan integrasi perisian untuk usaha sama tersebut.
Pada masa sama mereka turut memeterai perjanjian dengan EP Blueshark Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh EP Manufacturing Bhd (EPMB), sebagai pemasang tempatan bagi motosikal elektrik dua roda.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Blueshark, Jeff Chong berkata, kerjasama itu akan memperkukuh ekosistem EV dua roda dan mempercepatkan penggunaannya di Malaysia.
"Dengan strategi pengembangan agresif, infrastruktur yang dipertingkat dan kerjasama industri yang kukuh, langkah hari ini akan menggerakkan Malaysia ke arah masa depan lebih hijau, dipacu oleh Petronas dan Blueshark," katanya.- DagangNews.com
standard


