
KOTA BHARU: Seluruh rakyat Kelantan terutama yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan berisiko banjir supaya sentiasa bersedia untuk berdepan kemungkinan berlaku bencana banjir di sepanjang musim tengkujuh.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, banjir bukan fenomena baharu bagi penduduk di negeri ini dan majoriti rakyat sudah tahu langkah-langkah yang perlu diambil.
Menurutnya, lebih penting adalah kerajaan negeri tidak mahu melihat rakyat di negeri ini berterusan mendapat musibah disebabkan banjir sedangkan ia boleh dielakkan melalui persediaan awal dan rapi.
“Kita di Kelantan menghadapi banjir setiap tahun, berbeza dengan negeri-negeri luar yang merasai bencana banjir satu fenomena baharu. Jadi rakyat Kelantan sepatutnya sudah bersedia dan tahu langkah-langkah yang perlu diambil.
“Kena bersedia dan patuhi langkah keselamatan. Kita tidak mahu lagi ada rakyat kita dapat musibah disebabkan banjir sedangkan ia boleh dielakkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kilang Memproses Minyak Liquid Palm Edible Oil (LPEO) Sdn. Bhd. di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Beliau berkata, bermula hari ini sehingga 28 November ini, beberapa tempat di negeri ini akan berdepan banjir, khususnya di Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan menyeru agar penduduk di kawasan-kawasan itu bersedia dalam segenap aspek dan situasi. – UTUSAN
The post Kerajaan Kelantan minta rakyat bersedia sepanjang tengkujuh appeared first on Utusan Malaysia.





