
Ujian saringan pernafasan terhadap pemandu kereta yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu mendapati bacaan alkohol sebanyak 64 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, melebihi had yang dibenarkan.
KUALA LUMPUR: Seorang penyelia maut manakala seorang pemandu lori cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sultan Iskandar, dari arah Jalan Damansara menghala ke Jalan Parlimen di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan dua kenderaan itu pada 5.08 pagi.
Beliau berkata ketika kejadian kira-kira 5 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 28 dan 49 tahun bersama tiga pekerja warga Bangladesh sedang menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas dan melanggar kedua-dua mangsa yang berada di lorong kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, penyelia terbabit disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan manakala pemandu lori mengalami kecederaan pada kepala dan tangan kanan serta sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata ujian saringan pernafasan terhadap pemandu kereta yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu mendapati bacaan alkohol sebanyak 64 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, melebihi had yang dibenarkan.
Susulan itu, pemandu berkenaan ditahan dan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






