
KUALA LUMPUR – Seorang penyelia kerja pemasangan papan tanda maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan di Lebuh Raya Sultan Iskandar, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala seorang lagi pekerja lelaki berusia 49 tahun cedera di kepala dan tangan kanan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.08 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lima pekerja, termasuk seorang penyelia, pemandu lori dan tiga warga Bangladesh, sedang menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dua pekerja yang berada di lorong kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, katanya, ujian saringan pernafasan alkohol terhadap pemandu berkenaan merekodkan bacaan 64 miligram bagi setiap 100 mililiter darah.
“Pemandu telah ditahan dan direman selama tiga hari hingga 26 Oktober bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu mabuk ditahan, langgar penyelia hingga maut appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Mundar-mandir sebelum kebas van](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-24-at-20.31.06-1024x550.jpeg)


