Penyelia pembersihan didakwa rompak, cederakan lelaki Rohingya

17 Sep 2026 • 2:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penyelia pembersihan didakwa rompak, cederakan lelaki Rohingya

JOHOR BAHRU – Seorang penyelia pembersihan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan rompakan dan mencederakan lelaki berketurunan Rohingya pada Ogos dan awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Haziq Mohd Rizar, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas kesemua pertuduhan sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah.

Di hadapan Hakim N. Kanageswari dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, lelaki itu didakwa tiga pertuduhan iaitu melakukan rompakan terhadap tiga lelaki pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Tertuduh merompak anak kunci sebuah motosikal jenis Honda C100, mesin rumput, serangkai kunci motosikal, satu kad UNHCR serta sebuah mesin pemotong dahan pokok milik ketiga-tiga mangsa berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Pekaka 3 dan Jalan Pekaka 5, Taman Perling pada pukul 1.50 tengah hari dan 2.30 petang, 26 Ogos lalu dan di sebuah taman permainan di Jalan Layang 12, Taman Perling di sini pada pukul 10 pagi, 9 September lalu.

Pendakwaan dikemukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Majistret A. Shaarmini pula, Muhammad Haziq didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki pelarian Rohingya yang lain di tepi padang permainan Jalan Layang 3, Taman Perling, pada pukul 11.30 pagi, 9 September lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, Shamira Mohd Luthfi Ismail dan Anis Shafeeqah Shariffudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias dan Jason Nazrin Tan.

Mahkamah membnearkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 atas kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 28 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan dengan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.-KOSMO! ONLINE

The post Penyelia pembersihan didakwa rompak, cederakan lelaki Rohingya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved