JOHOR BAHRU - Seorang penyelia pembersihan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan rompakan dan mencederakan lelaki berketurunan Rohingya pada Ogos dan awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Haziq Mohd Rizar, 26, membuat pengakuan itu kesemua pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen dan Majistret dekat sini, pada Khamis.
**media[3650131]**
Di hadapan Hakim N Kanageswari dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, lelaki itu didakwa tiga pertuduhan iaitu melakukan rompakan terhadap tiga lelaki pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Tertuduh merompak anak kunci sebuah motosikal jenis Honda C100, mesin rumput, serangkai kunci motosikal, satu kad UNHCR serta sebuah mesin pemotong dahan pokok milik ketiga-tiga mangsa berkenaan.
**media[3650130]**
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Pekaka 3 dan Jalan Pekaka 5, Taman Perling pada jam 1.50 tengah hari dan 2.30 petang, 26 Ogos lalu dan di sebuah taman permainan di Jalan Layang 12, Taman Perling di sini pada jam 10 pagi, 9 September lalu.
Pendakwaan dikemukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Majistret A Shaarmini pula, Muhammad Haziq didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki pelarian Rohingya yang lain di tepi padang permainan Jalan Layang 3, Taman Perling, pada jam 11.30 pagi, 9 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, Shamira Mohd Luthfi Ismail dan Anis Shafeeqah Shariffudin.
Manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias dan Jason Nazrin Tan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 atas kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Oktober dan tertuduh turut dikenakan syarat tambahan dengan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.






