Penyelia syarikat pembersihan didakwa rompak, cedera empat lelaki Rohingya

17 Sep 2026 • 1:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penyelia syarikat pembersihan didakwa rompak, cedera empat lelaki Rohingya

JOHOR BAHRU: Seorang penyelia sebuah syarikat pembersihan didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini hari ini atas empat pertuduhan merompak dan mencederakan empat lelaki etnik Rohingya pada Ogos dan bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Haziq Mohd. Rizar, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, N. Kanageswari dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, serta Majistret, A. Shaarmini.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan jenayah rompakan terhadap tiga lelaki pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Pekaka 3 dan Jalan Pekaka 5, Taman Perling pada pukul 1.50 tengah hari dan 2.30 petang, 26 Ogos lalu serta di sebuah taman permainan di Jalan Layang 12, Taman Perling di sini pada pukul 10 pagi, 9 September lalu.

Tertuduh didakwa merompak anak kunci sebuah motosikal jenis Honda C100, mesin rumput, serangkai kunci motosikal, satu kad UNHCR serta sebuah mesin pemotong dahan pokok milik ketiga-tiga mangsa berkenaan.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, Muhammad Haziq didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki Rohingya lain di tepi padang permainan Jalan Layang 3, Taman Perling, pada pukul 11.30 pagi, 9 September lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam, Shamira Mohd. Luthfi Ismail dan Anis Shafeeqah Shariffudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias dan Jason Nazrin Tan.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diberikan jaminan keseluruhan berjumlah RM16,000 bagi keempat pertuduhan, manakala sebutan semula ditetapkan pada 8 Oktober dan 28 Oktober depan.-UTUSAN

The post Penyelia syarikat pembersihan didakwa rompak, cedera empat lelaki Rohingya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved