Penyelia tapak didakwa pindah wang haram hampir RM1.9 juta

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 12:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penyelia tapak didakwa pindah wang haram hampir RM1.9 juta
Law Tuan Hai dibawa polis ke Mahkamah Seremban pada Selasa.

SEREMBAN - Seorang penyelia tapak projek didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.9 juta dalam urusan penjualan lot hartanah di Rembau, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Law Tuan Hai, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.54 juta daripada akaun bank milik sebuah syarikat dan dengan curangnya telah memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk memindahkan wang tersebut ke akaun semasa miliknya.

Manakala bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa telah menerima hasil aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM338,000 daripada akaun simpanan seorang lelaki berusia 54 tahun.

Kesemua pemindahan yang berjumlah keseluruhan RM1.9 juta itu dilakukan setelah tertuduh memperdayakan dua lelaki tersebut untuk mempercayai bahawa dia ingin menjual satu lot hartanah dalam Mukim Kundor daerah Rembau, sedangkan tertuduh bukan pemilik yang sah bagi hartanah tersebut.

Kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah bank di Bahau, Jempol antara 5 hingga 11 Disember 2023.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan pengubahan wang haram di bawah Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon empat pertuduhan itu dipindahkan serta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang.

Nurliyana berkata, pemohonan pemindahan terbabit berikutan tertuduh sedang berdepan pertuduhan di mahkamah itu yang berkaitan dengan kes penggubahan wang berkenaan.

"Perbicaraan bersama lebih efisien dan menjimatkan masa mahkamah serta pihak-pihak dalam kes ini, malah mangsa berada di Pulau Pinang," katanya.

Peguam, Raqib Osman yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tiada potensi melarikan diri selain tiada kemampuan dari segi kewangan.

"Tertuduh bekerja sebagai penyelia tapak dengan gaji RM5,000 sebulan, menanggung dua anak, isteri dan ibu yang sudah tua," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown dan ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 September depan bagi serahan dokumen.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved