
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 22 tahun didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa kerana terlibat secara langsung dalam transaksi tidak sah membabitkan wang berjumlah RM22,800 menggunakan akaun bank miliknya.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mazlan Wong Han Bang selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Mazlan didakwa melakukan transaksi debit haram menggunakan akaun bank miliknya antara jam 1.31 petang hingga 3.47 petang pada 15 Mac 2025 di Ace Delights Food Court, Kampung Nagapas, Papar.
Dia didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun atau denda antara RM10,000 hingga RM150,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa pada hari kejadian, pengadu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Rayner daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Individu tersebut memaklumkan hasrat untuk menempah perkhidmatan katering daripada pengadu namun pada masa sama mencadangkan supaya pengadu menaja sarang burung walit sebagai tanda penghargaan.
Rayner kemudian meminta pengadu membeli sarang burung walit daripada individu bernama Gerry.
Akibat terpedaya, pengadu membuat empat transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank atas nama Mazlan Wong.
Selepas semua transaksi selesai dilakukan suspek bertindak menyekat nombor telefon pengadu.
Mazlan ditahan pada 13 Jun 2025. Menurut keterangannya dia telah menyerahkan butiran akaun bank serta kad ATM miliknya kepada pihak ketiga.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh terlibat secara langsung dalam urusan transaksi yang menyalahi undang-undang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim manakala tertuduh diwakili peguam Azizah Saleh.





