
SEREMBAN: Seorang penyelia tapak projek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima dan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.9 juta, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Law Tuan Hai, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut tiga pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.54 juta daripada akaun sebuah syarikat sebelum memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk memindahkan wang berkenaan ke akaun semasa miliknya.
Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM338,000 daripada akaun simpanan seorang lelaki berusia 54 tahun.
Semua transaksi berjumlah hampir RM1.9 juta itu didakwa dilakukan selepas tertuduh memperdayakan kedua-dua mangsa untuk mempercayai bahawa dia mahu menjual satu lot hartanah di Mukim Kundor, Rembau, sedangkan tertuduh bukan pemilik sah hartanah berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bahau, Jempol antara 5 hingga 11 Disember 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun serta didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R. Azmi menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon kes berkenaan dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang.
Katanya, permohonan itu dibuat berikutan tertuduh telah didakwa di mahkamah sama semalam selain kedua-dua kes mempunyai kaitan rapat.
“Perbicaraan bersama lebih efisien dan menjimatkan masa mahkamah serta pihak-pihak terlibat, malah mangsa berada di Pulau Pinang,” katanya.
Peguam Raqib Osman yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko melarikan diri selain berdepan kekangan kewangan.
Menurutnya, tertuduh bekerja sebagai penyelia tapak dengan pendapatan RM5,000 sebulan, menghidap darah tinggi serta menanggung isteri, dua anak dan ibu yang sudah tua.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya keempat-empat pertuduhan itu dipindahkan dan dibicarakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Georgetown.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 September depan bagi serahan dokumen. – UTUSAN
The post Tipu jual lot tanah, penyelia tapak projek didakwa terima wang haram RM1.9 juta appeared first on Utusan Malaysia.





