Penyingkiran 6 kaunter daripada Indeks MSCI boleh sebabkan aliran keluar dana sehingga RM146 juta - CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
16 May 2025 • 10:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penyingkiran 6 kaunter daripada Indeks MSCI boleh sebabkan aliran keluar dana sehingga RM146 juta - CIMB Securities

image is not available

16/05/2025 - 10:44

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mei - Penyingkiran enam kaunter daripada MSCI Malaysia Small Cap Index boleh menyebabkan aliran keluar sehingga RM146 juta, kata CIMB Securities.

Pegangan saham asing bukan strategik dalam saham-saham tersebut, termasuk Sports Toto Bhd dan UWC Bhd berada dalam julat antara 4.7% hingga 17.7%, menurut analisis CIMB Securities.

Secara keseluruhan, enam kaunter itu menyumbang kira-kira 4.4% daripada permodalan pasaran indeks pelarasan apungan bebas tersebut.

“Perkembangan ini adalah negatif bagi saham-saham yang dikeluarkan, kerana ia boleh mencetuskan penjualan oleh dana pasif yang mengikuti rapat indeks ini,” katanya dalam satu nota kajian.

Saham lain yang akan dikeluarkan ialah Pentamaster Corp Bhd, British American Tobacco (Malaysia) Bhd, D&O Green Technologies Bhd dan Dayang Enterprise Holdings Bhd.

Komponen Indeks MSCI Malaysia, meliputi saham bermodal besar dan sederhana mewakili 85% daripada pasaran saham Malaysia, akan kekal tidak berubah.

Indeks-indeks itu mendapat perhatian khusus daripada pengurus dana dan pelabur asing. Pengeluaran daripada indeks boleh mencetuskan aliran keluar dana, kerana pelabur pasif akan menjual saham-saham yang dikeluarkan untuk mencerminkan penanda aras.

Semua perubahan kepada Indeks MSCI berkuat kuasa pada penutupan dagangan 30 Mei 2025, menurut penyedia indeks tersebut. Semakan seterusnya dijadualkan pada 7 Ogos 2025.

Indeks MSCI disemak semula setiap tiga bulan pada hari dagangan terakhir suku tahun. MSCI akan menambah atau mengeluarkan saham berdasarkan kriteria tertentu, seperti saiz dan kecairan, untuk memastikan indeks kekal relevan sebagai penanda aras pasaran yang diwakilinya.

Secara amnya, CIMB Securities berkata, dana antarabangsa berkemungkinan kembali ke pasaran ekuiti Malaysia, memandangkan pegangan asing yang rendah pada paras 19.4% dan sentimen pasaran yang semakin baik berikutan pengurangan ketegangan perang tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Sektor yang paling berpotensi mendapat manfaat daripada aliran masuk asing ialah perkhidmatan kewangan, utiliti, dan pengguna, yang mencatatkan aliran keluar bersih asing terbesar setakat tahun ini, kata CIMB Securities.

Bagi pemilihan saham dalam sektor perkhidmatan kewangan, CIMB Securities memilih Public Bank Bhd, RHB Bank Bhd dan Alliance Bank Malaysia Bhd manakala sektor utiliti, saham pilihan utama adalah Tenaga Nasional Bhd.

Dalam sektor pengguna, CIMB Securities memilih 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dan Farm Fresh Bhd.- DagangNews.com

featured standard