
MARANG: Selepas hampir sedekad tidak kelihatan, penyu belimbing atau Leatherback Turtle yang merupakan spesies penyu terbesar di dunia dipercayai kembali mendarat di pesisiran pantai Terengganu, semalam.
Kemunculan semula ‘gergasi samudera’ itu dikesan berdasarkan jejak fizikal bersaiz besar yang ditinggalkan di atas pasir, selain penemuan telur di dalam sarang oleh kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu.
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menerusi perkongsian dalam media sosialnya memaklumkan, penyu belimbing berkenaan dipercayai mendarat selepas kali terakhir spesies tersebut dikesan di negeri ini pada 2017.
Menurut perkongsian tersebut, penemuan itu sekali gus memberikan harapan baharu terhadap kelangsungan spesies penyu yang semakin terancam berikutan kemerosotan jumlah pendaratannya di pantai Terengganu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Penyu belimbing adalah spesies penyu terbesar di dunia dan mempunyai ciri fizikal tersendiri termasuk karapas berwarna gelap yang tidak mempunyai sisik keras seperti kebanyakan spesies penyu lain.
“Kemunculan semula spesies berkenaan di pantai Terengganu juga dianggap signifikan kerana negeri ini pernah menjadi antara lokasi penting pendaratan penyu belimbing di Malaysia,” jelas perkongsian tersebut.
Menurutnya, lebih menggembirakan, penemuan telur di lokasi berkenaan memberi petunjuk bahawa kawasan pantai tersebut masih mempunyai keadaan yang sesuai untuk dijadikan lokasi bersarang.
Penemuan itu pada masa sama mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan memastikan kebersihan pantai dan ekosistem laut terus dipulihara bagi menjamin kelangsungan hidupan marin, khususnya spesies penyu yang semakin terancam. – UTUSAN
The post Penyu belimbing kembali mendarat di Terengganu selepas hampir sedekad appeared first on Utusan Malaysia.






