Penyusunan semula PETRONAS Gas dijangka tingkatkan ketelusan pelaporan kewangan, operasi setiap segmen - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2025 • 9:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penyusunan semula PETRONAS Gas dijangka tingkatkan ketelusan pelaporan kewangan, operasi setiap segmen - MBSB Research

image is not available

02/10/2025 - 09:34

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Langkah PETRONAS Gas Berhad membuat penyusunan semula dijangka bukan sahaja memberi manfaat operasi tetapi juga meningkatkan ketelusan dalam pelaporan prestasi kewangan dan operasi setiap segmen perniagaan.

MBSB Research berkata, setiap unit akan diwajibkan mengurus rekodnya sendiri, sekali gus mewujudkan akauntabiliti yang lebih jelas dan memudahkan pihak berkepentingan menilai prestasi setiap segmen.

Katanya, perubahan struktur itu dapat membantu PETRONAS Gas memenuhi piawaian pematuhan peraturan serta membuka ruang kepada transaksi perniagaan pada masa hadapan, termasuk penggabungan, pengambilalihan, usaha sama atau pelupusan aset.

"Dengan mencipta struktur korporat yang lebih jelas, kumpulan itu sedang membina asas untuk meningkatkan keterlihatan pasaran dan nilai jangka panjang,” katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, PETRONAS Gas menerima kelulusan pengecualian cukai daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi melaksanakan cadangan penstrukturan semula dalaman, yang akan menyaksikan pemindahan semua aset, liabiliti dan urusan perniagaan kepada anak syarikat milik penuhnya.

Langkah tersebut akan menstrukturkan semula segmen perniagaan kepada entiti perniagaan yang lebih jelas dengan membezakan perniagaan terkawal (regulated) dan tidak dikawal (non-regulated).

MBSB Research berkata, walaupun terdapat potensi manfaat jangka panjang, syarikat menegaskan inisiatif itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan, pegangan pemegang saham utama, mahupun memberi impak material terhadap pendapatan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 2025 dan 2026.

Katanya, pasaran menjangkakan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi hasil daripada penyusunan semula ini akhirnya akan membuka nilai kepada pemegang saham, meskipun manfaat penuh dijangka hanya dapat dilihat dalam jangka masa panjang.

"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM19.25 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard