PETRONAS Gas terima lampu hijau laksana penstrukturan semula dalaman

01/10/2025 - 14:47
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 1 Okt - PETRONAS Gas Berhad menerima kelulusan pengecualian cukai daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi melaksanakan cadangan penstrukturan semula dalaman, yang akan menyaksikan pemindahan semua aset, liabiliti dan urusan perniagaan kepada anak syarikat milik penuhnya.
Kumpulan yang terlibat dalam pemprosesan gas, pengangkutan gas dan utiliti itu berkata, langkah tersebut akan menstrukturkan semula segmen perniagaan kepada entiti perniagaan yang lebih jelas dengan membezakan perniagaan terkawal (regulated) dan tidak dikawal (non-regulated).
Katanya, sebaik sahaja penstrukturan dalaman selesai, setiap segmen perniagaan akan ditempatkan di bawah entiti khusus, iaitu GasPro, TransCo dan UT-East.
Bagi mengukuhkan pertumbuhan perniagaan utiliti dan tenaga, syarikat juga akan menggabungkan semua entiti yang mengendalikan perniagaan utiliti dan tenaga di bawah sebuah syarikat induk.
“Penstrukturan semula dalaman ini akan membawa kepada ketelusan yang lebih tinggi dalam segmen perniagaan, membolehkan pertumbuhan dan memperkukuh tumpuan operasi serta memudahkan pengurusan modal yang lebih fleksibel,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Cadangan penstrukturan semula dalaman itu, yang dilaksanakan melalui skema pengaturan ahli di bawah Seksyen 366 dan 370 Akta Syarikat 2016, telah diluluskan oleh lembaga pengarah pada 23 Julai 2025, tertakluk kepada kelulusan akhir pengecualian cukai daripada MOF.
Syarikat itu berkata, ia telah menerima kelulusan akhir daripada MOF melalui sepucuk surat bertarikh 24 September 2025 yang diterima pada 30 September 2025.- DagangNews.com
standard



