Penyusutan kontrak pembinaan diramal mengekang pendapatan Muhibbah Engineering tahun hadapan - penganalisis

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2025 • 3:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penyusutan kontrak pembinaan diramal mengekang pendapatan Muhibbah Engineering tahun hadapan - penganalisis

image is not available

02/09/2025 - 15:05

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Muhibbah Engineering (M) Berhad diramal berdepan prospek mencabar pada tahun hadapan disebabkan penyusutan kontrak pembinaan, kata penganalisis.

Bagaimanapun, sokongan berterusan daripada konsesi lapangan terbang dan perniagaan kren dijangka dapat mengimbangi ketidakstabilan dalam segmen pembinaan kumpulan.

Sebahagian penganalisis melihat nilai yang menarik sementara yang lain memberi amaran mengenai potensi terhad ekoran prospek penambahan kerja yang tidak menentu.

CIMB securities berkata, buku pesanan kumpulan itu telah menyusut.

“Kami menurunkan unjuran kemenangan kontrak baharu 2025 hingga 2027 antara 20% hingga 40% kepada antara RM300 juta hingga RM800 juta bagi mencerminkan penyusutan buku tempahan pembinaannya,” katanya dalam satu nota kajian sambil menyatakan buku tempahan Muhibbah berjumlah RM417 juta setakat 26 Ogos 2025.

Firma penyelidikan itu berkata, Muhibbah telah membida projek bernilai RM5 bilion, kebanyakannya dalam sektor minyak dan gas, namun kumpulan itu masih belum memperoleh kemenangan besar setakat tahun ini akibat ketidaktentuan berterusan terhadap prospek perbelanjaan modal berkaitan sektor itu.

image is not available

Walaupun pendapatan bagi separuh pertama tahun ini (1H25) secara keseluruhannya sejajar dengan anggaran, firma penyelidikan itu kini mengambil pendirian lebih berhati-hati.

Ia menurunkan taraf saham tersebut kepada “pegang” daripada “beli”, serta mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 60 sen berbanding RM1.10 sesaham sebelum ini.

Ini selari dengan pengurangan unjuran keuntungan teras Muhibbah bagi 2026 hingga 2027 sebanyak 12% dan 15% kepada masing-masing RM64 juta dan RM75 juta.

Di luar segmen pembinaan, operasi lapangan terbang kumpulan kekal sebagai faktor penentu.

Lapangan Terbang Kemboja mencatatkan peningkatan trafik penumpang sebanyak 19% tahun ke tahun dalam 1H25, kepada 2.8 juta. Namun terdapat ketidaktentuan berhubung Lapangan Terbang Antarabangsa Techo (TIA) di Phnom Penh yang dijadualkan dibuka pada 9 September.

“Masih belum jelas pada ketika ini sama ada TIA, yang akan diuruskan oleh Lapangan Terbang Kemboja di bawah perjanjian perkhidmatan 15 tahun, dapat mula beroperasi mengikut tarikh yang dijadualkan,” kata CIMB Securities.

Sementara itu, CGS International, bagaimanapun, kekal lebih optimis terhadap kumpulan tersebut.

“Muhibbah adalah proksi yang menarik untuk pemulihan kedatangan pelancong melalui konsesi lapangan terbang Kemboja dan lebih banyak aliran kerja daripada PETRONAS,” katanya.

CGS International mengekalkan saranan “tambah” terhadap Muhibbah, dengan TP sebanyak RM1.10 sesaham.

Firma penyelidikan itu turut menekankan peralihan kepada pintu masuk baharu Phnom Penh.

“Pada Julai lalu, Lapangan Terbang Kemboja, usaha sama antara Vinci Airports dan Muhibbah, telah dinamakan sebagai pengendali TIA baharu di Phnom Penh, yang dijadualkan dibuka pada suku keempat tahun ini,” katanya.

Walaupun keuntungan daripada perjanjian perkhidmatan pengurusan baharu dijangka lebih rendah, perjanjian itu menjamin keterlihatan pendapatan sehingga 2040. - DagangNews.com

standard