
KLANG – Perairan Selangor dan Perak dikenal pasti antara ‘hotspot’ pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dimanfaatkan sindiket untuk menyeludup migran masuk ke negara ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd. Yusri Hasan Basri berkata, pihaknya mengenal pasti kawasan panas itu menerusi risikan dan operasi berterusan bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran.
Katanya, sindiket terbabit turut dikesan menggunakan pelbagai taktik termasuk memanfaatkan perairan antarabangsa sebelum memindahkan PATI dari sebuah bot ke bot lain.
“Antara kawasan yang diberi perhatian termasuk perairan Perak, Selangor dan Johor selain kawasan sempadan di utara.
“Mereka ini menjalankan pelbagai cara tidak kira waktu dalam kegiatan penyeludupan migran,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Ulang Tahun ke-79 Pasukan Polis Marin (PPM) di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelbagai modus operandi dikesan termasuk menggunakan perairan antarabangsa sebelum memindahkan PATI daripada bot-bot lain dan membuat satu ‘drop point’ bagi membolehkan mereka memasuki Malaysia.
Ujarnya, kerjasama sentiasa dijalankan bersama pasukan keselamatan lain termasuk agensi penguat kuasa maritim selain perkongsian maklumat dan risikan bagi mengesan pergerakan sindiket berkenaan.
“Pasukan Gerakan Am (PGA) turut mempunyai pos di seluruh negara bagi memantau dan mengenal pasti lokasi panas dan kawasan berisiko menjadi laluan pendaratan PATI,” tegasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, PPM merekodkan 7,627 kejayaan penguatkuasaan membabitkan kes jenayah di perairan Malaysia sepanjang Januari hingga September tahun ini.
Operasi tersebut membawa kepada tangkapan 2,707 individu selain rampasan dan saman bernilai RM525 juta bagi pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan utama direkodkan ialah 428 kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kawalan Bekalan 1961 (295 kes) serta Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (213 kes).
“Kes mengikut Akta Kastam 1967 pula mencatatkan 189 kes, manakala kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 merekodkan jumlah tertinggi iaitu 3,214 kes,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Perairan Selangor, Perak ‘hotspot’ PATI appeared first on Kosmo Online.






