IPOH – Kerajaan negeri dicadang mewujudkan Gudang Makanan Perak (GMP) sebagai satu platform bersepadu bagi memperkukuh sistem sekuriti makanan, sekali gus menstabilkan harga dan menjamin kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) berkata, cadangan strategik itu bukan sahaja menyentuh sektor pertanian, malah melibatkan aspek keselamatan negeri, kestabilan ekonomi serta kebajikan rakyat.
Menurutnya, walaupun Perak mempunyai kekuatan dari segi keluasan tanah, keupayaan pengeluaran dan sokongan agensi seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) serta Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) namun ketiadaan sistem berpusat menjadi kekangan utama.
"Realitinya, hasil petani tidak disusun secara berpusat, rantaian bekalan tidak efisien, harga tidak stabil, berlaku pembaziran dan kita masih bergantung kepada orang tengah.
"Lebih membimbangkan, Perak menghasilkan makanan tetapi tidak mengawal sistem pengedaran makanan," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Zainol Fadzi menjelaskan, GMP yang dicadangkan itu berfungsi sebagai ‘jantung’ kepada sistem makanan negeri dengan menggabungkan kemudahan gudang kering dan basah bagi menyimpan bekalan makanan.
Katanya, sistem itu membolehkan kerajaan negeri menyimpan stok makanan dan mengeluarkannya ketika harga pasaran meningkat, sekali gus membantu menstabilkan harga serta menawarkan makanan pada kadar lebih rendah kepada rakyat.
"Sebagai contoh, bekalan beras di Perak sebenarnya hampir mencukupi untuk keperluan rakyat negeri ini. Jika diurus dengan baik, kita mampu mengawal harga supaya lebih rendah daripada pasaran.
"Apabila negeri mempunyai stok sendiri, kita boleh bertindak ketika harga naik dan memastikan rakyat mendapat harga yang lebih berpatutan,” ujarnya.
Tambah beliau, GMP turut perlu disokong dengan platform digital pintar bagi memantau pergerakan hasil pertanian secara masa nyata, sekali gus mengurangkan pembaziran dan memastikan pengedaran lebih efisien.
Dalam masa sama, beliau menegaskan peranan kerajaan negeri penting dalam membantu memasarkan hasil pertanian, khususnya bagi mengatasi isu kejatuhan harga yang sering dihadapi petani ketika musim pengeluaran.
"Masalah penanam sayur hari ini ialah apabila hasil banyak, harga jatuh dengan alasan yang sama berulang kali.
"Jika kerajaan ambil peranan mengawal pengedaran, petani boleh mendapat harga lebih setimpal," katanya.
Zainol Fadzi turut mencadangkan agar kerajaan negeri menubuhkan pasukan petugas khas dan melaksanakan projek perintis GMP dalam tempoh 12 bulan terutama di kawasan komuniti pertanian utama.



