IPOH – Pelaburan syarikat automotif elektrik dari China, BYD di Tanjong Malim sangat penting untuk direalisasikan bagi melonjakkan pembangunan ekonomi daerah Muallim serta memperkukuh ekosistem industri automotif berteknologi tinggi di Perak.
Salina Samsudin (BN-Behrang) berkata, projek berkenaan perlu dilihat dalam konteks lebih luas bukan sekadar pelaburan biasa, sebaliknya sebagai langkah jangka panjang negeri dalam membina masa depan industri kenderaan elektrik (EV).
Menurutnya, kejayaan menarik pelaburan tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha tersusun kerajaan negeri melalui InvestPerak bersama agensi berkaitan.
"Seawal Oktober 2024, delegasi negeri sendiri turun ke Shenzhen bertemu BYD dan membawa naratif Tanjung Malim sebagai lokasi strategik.
"Hasilnya, daripada banyak lokasi termasuk negeri lain seperti Selangor dan Negeri Sembilan, syarikat ini memilih Muallim bukan kerana kebetulan tetapi kerana kekuatan ekosistem kita sebagai Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) yang lengkap dengan rantaian bekalan automotif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Salina berkata, kerajaan negeri turut bertindak pantas dengan menyediakan laluan ‘fast-track’ bagi mempercepatkan kelulusan projek serta menyelaras pelbagai keperluan dalam tempoh singkat.
**media[3492309]**
Menurutnya, kehadiran BYD berpotensi menjadi ‘anchor tenant’ yang mampu menarik lebih banyak pelabur dan vendor ke kawasan tersebut.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kejayaan pelaburan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dapat mempertimbangkan dan mempercepatkan kelulusan projek berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong usaha kerajaan menggalakkan penggunaan EV sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil susulan peningkatan kos subsidi negara.





