IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan keperluan segera menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli–Gerik susulan kadar kemalangan yang membimbangkan.
Baginda bertitah, laluan sepanjang 292 kilometer yang dibuka kepada orang ramai sejak 1 Januari 1982 itu merupakan nadi penghubung utama antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, dengan 115 kilometer daripadanya terletak di negeri Perak.
Menurut baginda, keadaan fizikal laluan yang mempunyai banyak selekoh serta merentasi kawasan berbukit, ditambah dengan faktor cuaca dan persekitaran menyumbang kepada risiko kemalangan yang tinggi di laluan tersebut.
"Sepanjang tahun 2025 sahaja, laluan ini mencatatkan 413 insiden kemalangan, mengakibatkan 26 nyawa terkorban di samping 27 orang mengalami cedera parah.
“Selain itu, sebanyak 20 insiden kemalangan yang direkodkan turut melibatkan haiwan. Statistik ini memperlihatkan risiko tinggi laluan ii yang memerlukan usaha bersepadu segera dilaksanakan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sultan Nazrin mengimbau tragedi menyayat hati yang berlaku pada 9 Jun 2025 melibatkan 42 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyambut Aidiladha bersama keluarga.
Menurut baginda, kemalangan yang disifatkan ngeri dan tragik itu telah meragut 15 nyawa sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh negara.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan sebanyak RM450 juta bagi projek menaik taraf dan pembaikan struktur turapan laluan JRTB berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Sultan Nazrin memuji usaha kerajaan negeri yang terus memperkukuh pendekatan tadbir urus responsif melalui pelaksanaan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan sejak tahun 2022.
Baginda bertitah, inisiatif tersebut berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat dengan pentadbiran negeri, sekali gus merapatkan jurang antara kedua-dua pihak menerusi interaksi bersemuka, penyampaian perkhidmatan secara terus serta penyelesaian isu secara pantas dan berkesan.
Menyentuh mengenai pembasmian kemiskinan, Sultan Nazrin mahu kerajaan memberi perhatian terhadap kemungkinan munculnya kumpulan miskin baharu atau golongan yang tidak kekal berada di atas paras kemiskinan susulan pelbagai faktor seperti hutang, masalah kesihatan, peningkatan kos sara hidup, perpindahan, krisis rumah tangga serta kematian ketua isi rumah.
Baginda menegaskan usaha membasmi kemiskinan adalah kompleks dan memerlukan pendekatan menyeluruh serta berterusan, dengan fokus kepada peningkatan modal budaya dan sosial terutama dalam kalangan anak-anak keluarga miskin melalui akses pendidikan yang saksama.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin turut mengesyorkan keperluan mewujudkan badan khusus bagi membantu banduan yang telah tamat menjalani hukuman agar dapat kembali ke dalam masyarakat tanpa dibelenggu stigma dan diskriminasi.
Baginda menegaskan, tanpa sokongan berstruktur dan berterusan, golongan bekas banduan berisiko terperangkap dalam satu putaran kejam akibat persepsi negatif masyarakat yang menyukarkan mereka memulakan kehidupan baharu.
"Di negeri Perak terdapat dua penjara dan tiga pusat koreksional yang menempatkan lebih 8,000 banduan dengan purata setiap bulan sekitar 900 orang menamatkan hukuman, meninggalkan alam penjara untuk kembali ke dalam masyarakat.
"Para banduan telah melalui pengalaman ditangkap polis, perbicaraan mahkamah dan melalui pengalaman tahanan oleh jabatan penjara," titah baginda.





