liza10/09/2026 - 14:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept – Perak kini mempunyai 28 projek solar berskala besar (LSS) dengan jumlah kapasiti 1,441.30 megawatt (MW) termasuk 21 projek yang sudah beroperasi dan tujuh lagi sedang dibangunkan.
Daripada jumlah itu, 21 projek LSS yang telah beroperasi mempunyai kapasiti keseluruhan 542.18 MW manakala tujuh projek yang dalam pembangunan melibatkan kapasiti 899.12 MW.
Daripada jumlah itu, daerah Kerian mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak empat projek LSS diikuti masing-masing tiga di Batang Padang, Manjung dan Kampar.
Selain itu Kinta memiliki dua projek manakala Gopeng, Sungai Siput dan Bidor masing-masing mempunyai satu projek.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, tujuh projek yang sedang dibangunkan itu ialah di daerah Larut Matang dengan kapasiti 470 MW, diikuti Hilir Perak sebanyak 95 MW, Perak Tengah (29.99 MW) dan Selama (4.16 MW).
Kapasiti solar Perak berpotensi melonjak
“Selain itu, terdapat tiga lagi projek yang sedang dibangunkan dengan jumlah kapasiti 299.97 MW, masing-masing mempunyai kapasiti 99.99 MW,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tiw Tee Siang (PH-Tronoh) pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mengenai perkembangan pelaburan dalam pembinaan ladang solar di negeri itu.
Teh berkata, perkembangan projek LSS menunjukkan kapasiti tenaga solar di Perak bukan sahaja sudah mencapai tahap operasi yang ketara, malah mempunyai potensi untuk meningkat dengan banyak menerusi projek yang sedang dibangunkan.
Menurutnya, tambahan kapasiti sebanyak 899.12 MW daripada projek yang sedang dibangunkan itu berpotensi membawa jumlah kapasiti LSS Perak kepada kira-kira 1,441.30 MW selepas semua projek siap dan mula beroperasi.
PKNPk dan MHB terus perkasa tenaga hijau
Dalam pada itu, Teh berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menerusi anak syarikatnya Majuperak Holdings Bhd (MHB) terus memainkan peranan sebagai antara peneraju inisiatif tenaga boleh baharu dan teknologi hijau di negeri itu.
Katanya, tumpuan berkenaan termasuk pembangunan projek tenaga solar untuk institusi agama dan pendidikan di Perak.
Bagi sektor institusi agama, MHB menjalinkan kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menerusi pemasangan panel solar fotovolta (PV) di 20 masjid perintis di beberapa daerah di negeri itu.
Menurut Teh, projek berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperluas penggunaan tenaga bersih, selain membantu masjid mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik konvensional dan mengoptimumkan kos utiliti dalam jangka panjang.
Keseluruhan projek di 20 masjid itu melibatkan kapasiti penjanaan sebanyak 513.01 kilowatt (kW), dengan nilai pelaburan awal berjumlah RM2.25 juta.- DagangNews.com






