TNB dan McDonald’s Malaysia perkukuh kerjasama tenaga bersih menerusi projek solar, stesen pengecas EV

LocalEnvironment
21 Aug 2026 • 6:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB dan McDonald’s Malaysia perkukuh kerjasama tenaga bersih menerusi projek solar, stesen pengecas EV Image from: TNB dan McDonald’s Malaysia perkukuh kerjasama tenaga bersih menerusi projek solar, stesen pengecas EV liza21/08/2026 - 18:59 Inisiatif itu merupakan sebahagian usaha McDonald's bagi mengurangkan pelepasan karbon melalui peralihan kepada sumber tenaga lebih bersih. - Gambar TNB Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos – McDonald’s Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkukuh kerjasama strategik bagi memperluas penggunaan tenaga bersih serta mobiliti hijau dalam operasi restoran dan kehidupan seharian masyarakat.

 

Kerjasama itu melibatkan tiga perkhidmatan utama iaitu pemasangan solar atas bumbung menerusi Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (Supply Agreement with Renewable Energy, SARE), penggunaan elektrik boleh baharu melalui Tarif Elektrik Hijau (Green Electricity Tariff, GET) TNB serta kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) menerusi TNB Electron.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata penglibatan sektor swasta amat penting dalam memacu tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga, selain membantu menterjemahkan aspirasi tenaga negeri serta negara kepada tindakan yang lebih praktikal.

 

“Kerjasama antara McDonald’s Malaysia dan TNB membuktikan sektor perniagaan boleh memainkan peranan dalam membawa tenaga bersih dan mobiliti hijau lebih dekat dengan Masyarakat,” katanya di majlis memeterai perjanjian itu di McDonald’s Pandu-Lalu Batu Kawan.

 

Perluasan Tenaga Solar Dan Elektrik Hijau

Sementara itu Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata inisiatif itu merupakan sebahagian penting daripada pelan hala tuju kelestarian syarikat bagi mengurangkan pelepasan karbon melalui peralihan kepada sumber tenaga lebih bersih.

 

Katanya, McDonald’s Malaysia berbangga menjadikan TNB sebagai rakan strategik dalam usaha memperluaskan amalan mampan di seluruh rangkaian restorannya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad pula berkata peralihan tenaga perlu berlaku di tempat masyarakat tinggal, bekerja dan bergerak.

 

Beliau berkata kerjasama dengan McDonald’s membolehkan tenaga bersih dan mobiliti hijau dibawa lebih dekat kepada pelanggan, di samping memberi ruang kepada sektor perniagaan untuk memainkan peranan dalam agenda peralihan tenaga negara.

 

Melalui program terbaharu itu, sistem solar atas bumbung akan diperkenalkan di 51 restoran McDonald’s tambahan dengan anggaran kapasiti gabungan sebanyak 1.685 megawatt-peak (MWp).

 

51 Restoran Tambahan Terima Solar

GSPARX Sdn Bhd, anak syarikat TNB, akan membangunkan, mengendalikan dan menyelenggara sistem solar berkenaan dengan pelaksanaan dijangka bermula pada 2026 dan siap pada 2027.

 

Program tersebut merupakan kesinambungan kerjasama yang dimulakan pada 2023 menerusi perjanjian yang melibatkan 100 restoran McDonald’s Pandu-Lalu terpilih.

 

Melalui SARE, McDonald’s boleh menggunakan tenaga solar atas bumbung tanpa perlu menanggung pelaburan awal yang besar, manakala GSPARX menguruskan pembangunan, operasi dan penyelenggaraan sistem berkenaan.

 

t
Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad (dua dari kanan) menyampaikan sijil Green Electricity Tariff (GET) kepada  Datuk Azmir Jaafar (tiga dari kiri). Turut menyaksikan penyerahan tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon (tengah)

 

Dalam masa sama, McDonald’s Malaysia akan melanggan GET bagi sehingga 285 restoran atau akaun elektrik, dengan jumlah penggunaan elektrik purata sekitar 15.5 gigawatt-jam (GWh) sebulan.

 

Langganan itu menjadikan McDonald’s sebagai syarikat restoran perkhidmatan segera pertama dan terbesar di Malaysia yang melanggan GET.

 

Pengecas EV Pertama TNB Electron Di Sektor Makanan

Kemudahan TNB Electron di McDonald’s Pandu-Lalu Batu Kawan pula merupakan lokasi pertama TNB Electron dalam sektor makanan dan minuman.

 

Kemudahan itu dilengkapi pengecas pantas arus terus (DC) berkapasiti 200 kilowatt (kW) yang boleh mengecas dua kenderaan pada satu-satu masa dan kapasiti itu boleh ditingkatkan kepada empat kenderaan. Kemudahan berkenaan telah menerima bekalan elektrik pada 15 Mei 2026.

 

Beroperasi 24 jam sehari, kemudahan itu membolehkan pengguna kenderaan elektrik mengecas kenderaan ketika menikmati hidangan, berehat atau meneruskan perjalanan.

 

Lokasinya yang berhampiran Lebuhraya Batu Kawan dan Taman Perindustrian Batu Kawan turut memberi lebih banyak pilihan pengecasan kepada pengguna lebuh raya, kenderaan industri dan masyarakat sekitar Seberang Perai.

 

TNB turut merancang untuk memperkenalkan kemudahan pengecasan TNB Electron di beberapa restoran McDonald’s lain di seluruh negara, dengan lokasi dan jadual pelaksanaan akan diumumkan kemudian.

 

Sehingga 30 Jun 2026, portfolio SARE TNB telah mencapai 183 MWp menerusi 442 projek, manakala TNB Electron mengendalikan 68 stesen pengecasan dengan 214 titik pengecasan di seluruh negara.

 

Kerjasama McDonald’s Malaysia dan TNB itu mencerminkan usaha kedua-dua syarikat untuk menjadikan peralihan tenaga lebih dekat dengan kehidupan seharian melalui penggunaan tenaga solar, elektrik hijau dan kemudahan pengecasan EV, sekali gus menyokong aspirasi peralihan tenaga Malaysia termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved