IPOH - Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO) menggesa kerajaan Perak membatalkan cadangan dua projek pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong di Kuala Kangsar.
Dalam satu kenyataan bersama pada Ahad, kumpulan itu memaklumkan cadangan berkenaan melibatkan kawasan seluas kira-kira 4,280 hektar dan 2,020 hektar yang diklasifikasikan sebagai hutan terosot.
Menurut mereka, berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), kawasan yang dicadangkan bagi pembangunan ladang hutan itu sebenarnya kaya dengan kepelbagaian biologi.
Justeru, mereka berpandangan penilaian yang mengklasifikasikan kawasan tersebut sebagai hutan terosot perlu dilihat secara menyeluruh, termasuk faktor pengurusan hutan sedia ada.
"Dapatan Laporan Ketua Audit Negara 2022 berkaitan pengurusan hutan dan impaknya terhadap alam sekitar ada menyebut bahawa pelaksanaan pembangunan ladang hutan dalam HSK adalah kurang memuaskan," kata kenyataan tersebut.
Kenyataan media itu dikeluarkan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia (GEMS).
Turut bersama, Greenpeace Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Sahabat Ekologi Perak (SEP), Jaringan Menyelamatkan Hutan Kledang Saiong dan Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Rambai Tujuh.
Kenyataan sama turut menjelaskan bahawa gesaan pembatalan dibuat bagi memastikan pematuhan terhadap ketetapan Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 pada 2 Disember 2022 yang memutuskan pelaksanaan moratorium bagi kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia.
“Bagi mematuhi ketetapan tersebut, kerajaan negeri disaran membatalkan cadangan projek di Hutan Simpan Kledang Saiong,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa kerajaan negeri menetapkan kira-kira tiga peratus atau 32,375 hektar daripada keluasan HSK sebagai Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH).
Untuk rekod, sebanyak 31,566 hektar telah diluluskan bagi pembangunan ladang hutan, dengan 8,810 hektar telah dibangunkan.
Daripada jumlah tersebut, 8,184 hektar telah ditanam manakala 626 hektar masih dalam proses penanaman.



