Perak teroka pelaburan RM200 juta

LocalBusiness & Finance
19 May 2026 • 2:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perak teroka pelaburan RM200 juta
Saarani (kanan) kini dalam rangka Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke China yang berlangsung dari 17 hingga 24 Mei.
Image from: Perak teroka pelaburan RM200 juta
Image from: Perak teroka pelaburan RM200 juta
Saarani (berdiri, kiri) bersama Pengerusi Shuifa Group, Liu Zhi Guo (berdiri, kanan) menyaksikan pemeteraian MOC antara Perak SADC diwakili Mohd Azhar (duduk, kiri) dan Shuifa Energy Group diwakili Pengerusinya, Liu Xiao Peng di Shandong, China pada Isnin.

IPOH - Kerajaan Perak meneroka prospek pelaburan mencecah RM200 juta bagi pembangunan projek tenaga hijau berasaskan konsep floating aqua-voltaic di Tanjung Tualang.

Potensi pelaburan itu diteroka menerusi pemeteraian Memorandum Kerjasama Strategik (MOC) antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Shuifa Energy Group Co Ltd.

**media[3525700]**

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemeteraian MOC berkenaan merupakan sebahagian daripada misi perdagangan dan pelaburan kerajaan negeri Perak ke China yang berlangsung dari 17 hingga 24 Mei.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan pelaburan strategik, khususnya dalam sektor tenaga hijau, kelestarian serta pembangunan ekonomi berimpak tinggi.

“Shuifa turut menyatakan hasrat pelaburan awal secara indikatif sekitar RM180 juta hingga RM200 juta dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

**media[3525694]**

Saarani berkata, fokus awal kerjasama itu melibatkan penerokaan projek floating aqua-voltaic berkapasiti 30 megawatt puncak (MWp) di Tanjung Tualang.

Bagaimanapun, projek tersebut tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan, kelulusan pihak berkuasa serta pemuktamadan perjanjian komersial.

Katanya, memorandum tersebut menjadi asas kepada kerjasama antara Perak SADC dan Shuifa dalam menilai potensi pembangunan projek yang menggabungkan penjanaan tenaga solar, penggunaan tanah serta kawasan kolam atau bekas lombong secara optimum di samping aktiviti akuakultur secara mampan.

Menurut beliau, kerjasama itu juga dijangka membuka ruang kepada perkongsian kepakaran teknikal, pelaburan dan teknologi dalam pembangunan projek tenaga boleh baharu di negeri ini.

“Pemeteraian memorandum ini turut merangkumi kajian dari aspek teknikal, komersial, undang-undang dan kawal selia bagi menilai daya maju projek, termasuk struktur kerjasama, model pelaksanaan, keperluan kelulusan serta manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.

Shuifa Energy Group merupakan syarikat milik kerajaan wilayah Shandong yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor air, pertanian moden, tenaga bersih dan perlindungan alam sekitar.

Dalam pada itu, misi perdagangan dan pelaburan ke China turut melibatkan beberapa sesi padanan perniagaan serta lawatan strategik berkaitan sektor automotif, bandar pintar, teknologi digital dan pusat data bagi memperluas jaringan pelaburan serta meneroka peluang kerjasama baharu untuk Perak.