Peralihan ke platform penstriman, HLIB jangka Astro terus berdepan tekanan hasil

29/09/2025 - 10:50
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Sept - Astro Malaysia Holdings Berhad terus berdepan tekanan apabila semakin ramai rakyat Malaysia meninggalkan TV berbayar untuk beralih ke platform penstriman, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Katanya, tekanan itu berterusan walaupun Astro cuba memperbaharui penawarannya melalui pakej lebih mampu milik, iaitu “Astro One”.
Langkah itu mungkin berjaya menarik pelanggan baharu, namun pada masa sama menjejaskan pendapatan syarikat. Purata hasil setiap pengguna (ARPU) susut kepada RM96.3, turun RM1.70 suku ke suku dan RM3.50 tahun ke tahun.
Dengan langganan menyumbang sehingga 77% daripada hasil, tekanan ini memberi kesan langsung kepada pendapatan kumpulan.
“Kami perhatikan, hasil langganan secara sejarahnya merangkumi 62% hingga 77% daripada jumlah hasil kumpulan.
"Justeru, perubahan strategi harga ini, walaupun berasaskan taktik yang wajar, tetap memberi tekanan jangka pendek terhadap pendapatan dan keuntungan,” katanya dalam satu nota kajian.
Walaupun kandungan tempatan kekal kukuh, perbelanjaan iklan masih lemah apabila syarikat multinasional mengetatkan bajet dalam keadaan makroekonomi yang lembap.
HLIB menjangkakan, tiada kelegaan dalam masa terdekat dan memberi amaran Astro bakal berdepan “angin kencang” dalam landskap media yang sedang berubah dengan kehadiran platform penstriman.
“Sehubungan itu, tekanan terhadap hasil dijangka berterusan, dan kami melihat potensi terhad dalam masa terdekat berdepan dengan landskap media yang sedang berubah secara struktur,” katanya.
Disebabkan kekurangan ketara ini, HLIB menurunkan unjuran kewangan tahun 2026, 2027 dan 2028 (FY26, FY27, FY28) masing-masing sebanyak 78%, 60% dan 42%.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" ke atas Astro, sambil menambah keterlihatan keuntungan kumpulan kekal kabur berikutan kejatuhan berterusan dalam langganan akibat tingkah laku “cord-cutting” serta kelembapan perbelanjaan iklan.
Sementara itu, bagi suku kedua FY26 (2QFY26), keuntungan teras sebelum cukai, zakat dan kepentingan minoriti (Patami) Astro berjumlah RM1 juta, meningkat 43% suku ke suku tetapi menjunam 93% tahun ke tahun.
Ini menjadikan keuntungan teras Patami untuk separuh pertama FY26 (1HFY26) sebanyak RM1.7 juta, merosot 95% tahun ke tahun.
HLIB berkata, keputusan itu lebih rendah daripada jangkaan firma tersebut dan juga konsensus, masing-masing hanya mencapai 7% dan 3% daripada unjuran setahun penuh, disebabkan hasil dan margin yang lebih lemah daripada jangkaan.
Firma penyelidikan itu turut menjelaskan, angka Patami teras 1HFY26 telah dilaraskan dengan keuntungan pertukaran asing sebanyak RM67.8 juta serta kerugian nilai saksama sebanyak RM40.9 juta ke atas derivatif yang berpunca daripada risiko kadar faedah dan pertukaran asing. - DagangNews.com
standard

