TA Securities mulakan liputan ke atas CBH Engineering disokong unjuran hasil positif

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2025 • 12:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities mulakan liputan ke atas CBH Engineering disokong unjuran hasil positif

image is not available

29/09/2025 - 12:24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - TA Securities memulakan liputan ke atas CBH Engineering Berhad dengan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) 54 sen sesaham disokong unjuran hasil positif.

Firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan kukuh dengan pertumbuhan hasil sebanyak 32.6% tahun ke tahun (YoY) pada FY26 dan 25% pada FY27, disokong pengiktirafan hasil yang lebih pantas daripada kemenangan kontrak utama yang diperoleh pada FY25.

Katanya, buku tempahan kumpulan yang berdaya tahan disokong kedudukannya dalam segmen pusat data Malaysia yang sedang berkembang pesat.

Sehingga September 2025, kumpulan ini mencatatkan baki buku pesanan belum dibil sebanyak RM533.3 juta, bersamaan kira-kira 2.0 kali jumlah hasilnya.

"Lebih 60% daripada jumlah ini secara langsung berkaitan dengan projek pusat data. Ia bukan sahaja mencerminkan keupayaan kumpulan untuk memperoleh kontrak bernilai tinggi dan berorientasikan masa depan, malah menonjolkan penjajaran strategik kumpulan sebagai satu daripada industri pertumbuhan terpenting negara.

"Malaysia dijangka menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit dalam pusat data sepanjang beberapa tahun akan datang, CBH Engineering berada pada kedudukan yang baik untuk merebut permintaan berterusan serta memberikan keterlihatan keuntungan yang konsisten," katanya dalam satu nota kajian.

TA Securities berkata, kemenangan kontrak terbaharunya seperti projek sistem bekalan elektrik bernilai RM172 juta untuk sebuah pencawang pusat data utama, kontrak bernilai RM194.7 juta bagi pencawang pengguna 275kV, projek infrastruktur kuasa bernilai RM52.8 juta yang terletak di Selangor, serta kerja-kerja M&E bernilai RM31.4 juta untuk cadangan pusat data 132kV, mengukuhkan rekod pencapaian kumpulan dalam mengendalikan projek berskala besar.

Katanya, secara kumulatif, nilai kerja baharu yang dimenangi kumpulan setakat tahun ini berjumlah RM450.9 juta, menyokong keterlihatan keuntungan syarikat yang kukuh untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Kemajuan kumpulan itu disandarkan pada rangkaian operasi yang meluas, melibatkan lebih 170 pembekal yang diluluskan serta kumpulan subkontraktor yang boleh dipercayai.

"Pangkalan pembekal yang luas ini memastikan akses berterusan kepada komponen kritikal seperti kabel kuasa, suis gear, dan transformer, yang penting bagi kejayaan pelaksanaan projek kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) yang kompleks.

"Keluasan rangkaian ini juga mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan dan membolehkan CBH Engineering mendapatkan bahan berkualiti pada terma yang kompetitif, sekali gus menyokong kecekapan dalam perolehan serta penyampaian projek.

"Daya tahan operasi sebegini amat penting khususnya untuk projek yang mencabar, termasuk pusat data dan infrastruktur utiliti, di mana kebolehpercayaan serta penyempurnaan tepat masa adalah kritikal – terutamanya pusat data yang merupakan projek berintensif tinggi dengan jadual pantas," katanya.- DagangNews.com

standard