Peralihan Sarawak kepada ekonomi dipacu sektor swasta mungkin merangkumi penyenaraian aset SEDC - Kenanga

LocalBusiness & Finance
19 May 2025 • 3:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peralihan Sarawak kepada ekonomi dipacu sektor swasta mungkin merangkumi penyenaraian aset SEDC - Kenanga

image is not available

19/05/2025 - 15:52

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - Peralihan secara beransur-ansur Sarawak kepada model ekonomi dipacu sektor swasta berkemungkinan merangkumi penyenaraian aset di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), kata Kenanga Research.

Katanya, peralihan itu mungkin menyebabkan SEDC dan Lembaga Kemajuan Bintulu kehilangan peruntukan kerajaan dalam beberapa tahun akan datang, memerlukan aset-aset mereka untuk menjana pendapatan sendiri.

“Kami percaya langkah strategik ini akan menguntungkan kerajaan negeri,” kata firma penyelidikan itu, sambil menekankan, syarikat yang dipacu modal swasta secara umumnya menawarkan ketelusan yang lebih tinggi dan aset negeri berpotensi berkembang dengan lebih besar dalam jangka panjang menerusi akses kepada pembiayaan pasaran awam.

Kenanga Research berkata, aset-aset itu mungkin merangkumi Hemisphere Corporation Sdn Bhd (hospitaliti dan runcit), SEDC Energy (hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui), Sarawak Metro (transit rel automatik) serta pelaburan luar negara seperti ladang ternakan lembu di Australia.

Firma penyelidikan itu menjangkakan, projek-projek utama Sarawak, termasuk Projek Transit Rel Automatik (ART), cadangan lapangan terbang baharu di Kuching dan projek rel Borneo, masih akan bergantung kepada pembiayaan kerajaan negeri. Kenanga Research tidak menjangkakan penyenaraian aset yang besar dalam masa terdekat.

Inisiatif-inisiatif ini perlu menunjukkan pendapatan yang konsisten dan potensi pertumbuhan untuk mencapai tahap kewangan berdikari sebelum mampu menarik pelaburan dari pasaran modal swasta, seterusnya membolehkan aset-aset ini ditawarkan kepada pelabur awam.

Walaupun Sarawak Energy Bhd merupakan aset paling matang dan stabil, tiada rancangan penyenaraian dalam masa terdekat.

Selain syarikat tempatan, negeri ini juga perlu mengukuhkan ekonomi domestiknya bagi menarik pelabur asing, sekali gus meningkatkan penglibatan modal swasta di Sarawak, menurut firma tersebut.

Seiring peralihan Sarawak ke arah ekonomi yang dipacu sektor swasta, negeri itu turut mempelbagaikan sumber bahan binaan utama bagi menurunkan kos bekalan dan mengurangkan risiko kesesakan bekalan ketika tempoh permintaan yang tinggi, kata Kenanga.

Permintaan simen tahunan semasa dianggarkan sekitar 1.7 juta hingga 1.8 juta tan, yang mencukupi memandangkan kilang Cahya Mata Sarawak Bhd kini beroperasi pada kadar penggunaan sebanyak 60% hingga 65%. Namun, dengan kehadiran beberapa projek mega, permintaan dijangka meningkat dalam beberapa tahun akan datang.

Sebagai contoh, cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang, Samarahan, direka untuk menampung sehingga 15 juta penumpang setahun — tiga kali ganda kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Pembangunan itu menunjukkan permintaan simen boleh melebihi 1.7 juta tan setahun, dan berpotensi mencecah 2 juta tan atau lebih dalam jangka sederhana, bergantung kepada kemajuan projek-projek ini.

Walaupun CMS mencukupi untuk memenuhi kapasiti 2 juta tan setahun bagi projek-projek yang akan datang, kemudahan pengilangan simen baharu di Sarawak mungkin diperlukan sekiranya lebih banyak projek pembinaan dan infrastruktur diumumkan dalam jangka panjang.

Selain itu, kos logistik yang lebih tinggi di negeri ini disebabkan oleh ciri geografinya boleh meningkatkan kos keseluruhan simen di Sarawak.

Selain itu, kos logistik yang lebih tinggi di negeri ini disebabkan ciri geografinya boleh meningkatkan kos keseluruhan simen di Sarawak.

“Ini sudah pasti akan meningkatkan persaingan dalam industri simen dan memastikan bekalan simen yang konsisten di negeri ini dalam jangka masa panjang,” kata firma penyelidikan itu.- DagangNews.com

standard