Perkongsian keuntungan Petronas-Petros mungkin antara penyelesaian perjanjian pengedaran gas Sarawak, kata Kenanga

LocalBusiness & Finance
19 May 2025 • 3:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perkongsian keuntungan Petronas-Petros mungkin antara penyelesaian perjanjian pengedaran gas Sarawak, kata Kenanga

image is not available

19/05/2025 - 15:02

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - Petronas dan Petros berkemungkinan membentuk perkongsian keuntungan sebagai sebahagian daripada penyelesaian bagi menangani pertikaian mengenai kawalan pengedaran gas di Sarawak, kata Kenanga Research.

Katanya, Petros akan memainkan peranan utama sebagai pengagregat gas dalam usaha kerjasama itu yang menyaksikan mereka memperoleh gas daripada entiti huluan, terutamanya Petronas dan Shell, pada harga yang sejajar dengan keadaan pasaran semasa.

Firma penyelidikan itu berkata, selepas memperoleh gas tersebut, Petros akan mengedarkannya kepada pengguna domestik atau menyalurkannya ke kemudahan eksport.

“Bagaimanapun, mekanisme perkongsian keuntungan antara pengeluar gas, pengagregator, dan terminal pencairan serta eksport LNG masih belum jelas pada ketika ini, tetapi kita boleh merujuk kepada contoh daripada pasaran lain sebagai panduan kasar,” katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research berkata, walaupun butiran mengenai perkongsian keuntungan pengagregatan gas untuk Sarawak belum didedahkan tetapi percaya margin pengagregatan gas boleh menghampiri 10%, berdasarkan contoh dari Amerika Syarikat (AS).

“Dalam model AS, pengagregator gas biasanya merupakan pengeksport utama LNG, memperoleh kira-kira 20% daripada harga jualan LNG, dengan margin yang berubah-ubah bergantung kepada harga jualan akhir LNG," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, Petronas masih boleh mengeksport secara langsung kepada pelanggan sedia ada di Jepun dan Korea.

“Oleh itu, Petros berkemungkinan menerima margin pengagregatan gas yang lebih rendah berbanding model AS, kerana Petronas dijangka terus memperoleh sebahagian daripada margin eksport.

"Ini kerana Petronas masih memiliki kemudahan pencairan LNG dan kekal sebagai pihak yang menjalankan urus niaga jualan kepada Jepun dan Korea,” katanya.

Minggu lalu, Borneo Post melaporkan, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Petros dan Petronas hampir mencapai satu perjanjian mengenai pengurusan gas asli di negeri itu, selepas lebih setahun pertikaian yang belum diselesaikan antara kedua-dua pihak.

Menurut Abang Johari, dalam perbincangan terkini, Petros akan diiktiraf sebagai satu-satunya pengagregat gas di negeri itu dan Sarawak akan meningkatkan pegangan dalam gas asli cecair (LNG) melalui satu perjanjian komersial.

Perbincangan antara Petronas dan Petros berkenaan tadbir urus pengedaran gas asli di Sarawak — salah satu pengeluar gas utama negara — telah menarik perhatian sejak tahun lalu.

Isu itu bermula apabila Sarawak melantik Petros sebagai pengedar tunggal gas di negeri itu di bawah undang-undang negeri — khususnya Ordinan Pengedaran Gas (DGO 2016), Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (Pindaan), Kanun Tanah Sarawak 1958, dan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1993 (NREO).

Walaupun kerajaan persekutuan dan Petronas mengiktiraf peranan Petros sebagai pengagregator gas negeri, syarikat minyak nasional itu juga mahu Sarawak mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum (PDA 1974) yang memberikan kuasa kepadanya terhadap sektor minyak dan gas, termasuk di Sarawak. - DagangNews.com

featured standard