hamden19/11/2026 - 09:25 KUALA LUMPUR 18 Nov - Peralihan tenaga Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar mengembangkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (TBB), sebaliknya turut bergantung kepada kesediaan grid, pelaburan infrastruktur dan kerjasama serantau, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Ir. Ts. Shamsul Ahmad.
Menurutnya, aspek berkenaan amat penting bagi menterjemahkan aspirasi peralihan tenaga negara kepada kemajuan yang nyata.
Beliau berkata, rangkaian elektrik yang boleh dipercayai dan berdaya tahan, disokong penyimpanan tenaga, pendigitalan serta kerjasama lebih erat dalam sektor tenaga, merupakan elemen penting bagi merealisasikan peralihan tenaga negara.
Menurut hantaran TNB di media sosial, Shamsul menyampaikan pembentangan pembukaan dan menyertai perbincangan peringkat tinggi bertajuk “Merealisasikan Peralihan Tenaga Malaysia: Memperluas Tenaga Bersih, Memperkukuh Fleksibiliti Grid dan Memacu Kesalinghubungan Serantau”.

Pembentangan itu berlangsung di Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31).
Sesi berkenaan dianjurkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta turut dihadiri Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli.
Ia turut menghimpunkan wakil kanan kerajaan, pemimpin industri dan pihak berkepentingan utama termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia), Datuk Hamzah Hussin serta wakil daripada Gentari, UEM Lestra dan Sarawak Energy.
Perbincangan itu memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pembangunan TBB, memperkukuh kesiapsiagaan dan fleksibiliti grid, menggerakkan pelaburan mampan serta memajukan kesalinghubungan elektrik serantau menerusi Grid Tenaga ASEAN (APG).
APG merupakan inisiatif ASEAN untuk menghubungkan rangkaian elektrik negara anggota bagi membolehkan perdagangan elektrik rentas sempadan, selain memperkukuh keterjaminan tenaga serantau, daya tahan sistem dan integrasi TBB.
Kemajuan sebenar menjadi ukuran peralihan tenaga
Shamsul berkata, ukuran sebenar peralihan tenaga bukan terletak pada aspirasi yang diumumkan, sebaliknya pada kemajuan yang berjaya dicapai.
Menurut beliau, menerusi kerjasama berterusan dengan kerajaan, industri dan pihak berkepentingan serantau, TNB kekal komited untuk menterjemahkan aspirasi peralihan tenaga Malaysia kepada penyelesaian praktikal.
Katanya, usaha itu bertujuan menyokong masa depan tenaga yang lebih bersih, berdaya tahan dan mampan. - BERNAM






