
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi (1 April) menzahirkan rasa terima kasih kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kerana perancangannya telah membantu kerajaan dalam menyediakan bekalan minyak dan gas yang mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei.
Anwar menerusi satu perutusan khas berkata, perancangan Petronas itu dapat membantu kerajaan dalam membantu rakyat dan negara.
Jelau beliau, kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan badan ini akan dibantu oleh tokoh-tokoh berwibawa untuk membantu kerajaan dalam bidang ini.
“Kita ucap terima kasih kerana perancangan PETRONAS dapat membantu kita kerana menyediakan minyak, gas yang mencukupi sekurang-kurang melangkau sehingga bulan Mei dan ini sangat membantu rakyat dan negara,” kata Anwar.
Kerajaan pergiat usaha jamin bekalan tenaga negara
Tambah beliau, kerajaan akan terus mempergiatkan usaha menjamin bekalan tenaga negara, yang dilihat agak kritikal.
Ini termasuklah mengambil langkah mempelbagaikan sumber tenaga import minyak dan gas dari negara lain.
Sebelum ini Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan menjalankan rundingan bersama Petronas dan beberapa lagi syarikat minyak sebagai usaha memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil sehingga ketibaan penghantaran seterusnya.
Tegasnya, isu harga bahan api perlu diurus secara teliti dengan berasaskan fakta serta penjelasan yang jelas kepada rakyat.
Kerajaan laksana WFH mulai 15 April
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju melaksanakan aturan bekerja dari rumah (WFH) mulai 15 April ini.
Jelas beliau pelaksanaan dasar BDR itu membabitkan penjawat awam di kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan dan ianya bertujuan menjimatkan bahan api selain menjamin kelestarian bekalan tenaga negara.
Namun Anwar memaklumkan perincian pelaksanaan dasar berkenaan akan menyusul kelak.
“Saya ucap setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang mengikuti semangat ini dan tidak angkuh, tidak boros, tidak anggap keadaan ini biasa mempamerkan kekayaan sewenang-wenang dan menunjukkan seolah-olah tidak ada yang terkesan.”Sikap ini akan merugikan kita kerana rakyat di bawah sana petani, nelayan, pekerja masih ramai yang terhimpit,” katanya.
Sebelum ini Anwar menyeru sektor swasta agar turut membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

