
PETRONAS Terus Pantau Rapi Bekalan Bahan Api Negara
Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) terus memantau rapi bekalan bahan api negara bagi memastikan kestabilan terjamin susulan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat.
Menerusi satu kenyataan, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, negara ini masih terkesan kerana hampir 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz.
Sejak krisis bermula, harga minyak mentah meningkat hampir 40 peratus.
Difahamkan, kenaikan ini turut menyebabkan kos penghantaran global, premium insurans dan logistik berkaitan meningkat dengan ketara, sekali gus memberi kesan kepada keselamatan bekalan bahan api negara.
Dari segi bekalan, permintaan dalam negara masih melebihi pengeluaran tempatan.
Bagi menampung kekurangan itu, PETRONAS menggunakan rangkaian operasinya melalui anak syarikat untuk memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi, sekali gus menampung hampir 50 peratus pasaran sehingga Mei 2026.
Manakala baki bekalan pula disediakan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
Kerajaan masih mengekalkan subsidi bagi RON95 & diesel
Harga runcit bahan api di Malaysia pula ditetapkan oleh kerajaan menerusi Mekanisme Harga Automatik.
Meskipun berdepan tekanan global, kerajaan masih mengekalkan subsidi bagi RON95 dan diesel bagi mengurangkan beban rakyat, menjadikan harga bahan api di Malaysia antara yang terendah di rantau ini.
Dalam masa sama, PETRONAS akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkaitan bagi menangani sebarang kemungkinan gangguan serta memastikan keselamatan tenaga negara terus terpelihara.
Memandangkan tempoh dan kesan penuh konflik di Iran masih belum dapat dipastikan, PETRONAS turut menggesa semua pihak agar menggunakan tenaga secara lebih berhemah.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyorok bekalan bahan api kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan," ujar kenyataan itu lagi.
Baca juga:
