Perancis tambah 3,000 guru ganti susulan protes

WorldPolitics
10 Oct 2026 • 12:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perancis tambah 3,000 guru ganti susulan protes

PARIS: Kerajaan Perancis berjanji menyediakan tambahan 3,000 guru ganti dalam beberapa hari lagi, sekali gus memberi isyarat awal kesediaan memenuhi tuntutan pelajar sekolah menengah yang mengadakan demonstrasi sejak tiga minggu lalu.

Menteri Pendidikan, Edouard Geffray, mengumumkan tawaran itu menerusi temu bual televisyen pada petang Khamis, selepas demonstrasi pelajar yang ada kalanya bertukar ganas berlangsung sepanjang hari.

Kerajaan berkata, seramai 6,877 individu ditahan sejak tunjuk perasaan bermula, dengan 86 peratus daripada mereka berusia bawah 18 tahun.

Demonstrasi itu tercetus susulan tuntutan supaya lebih banyak sumber diperuntukkan kepada pendidikan menengah.

Dalam aksi keempat gerakan berkenaan yang berlangsung selama tiga minggu itu, kira-kira 71,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh Perancis pada Khamis, menurut kesatuan sekerja.

Daripada jumlah itu, kira-kira 24,000 orang berhimpun di kawasan Bastille di Paris.

Polis sekali lagi menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang menyerang mereka menggunakan batu turapan dan bunga api buatan sendiri.

Di Bordeaux, sebuah sekolah menengah dirosakkan oleh penunjuk perasaan, manakala di Marseille, seorang penolong pengetua dipukul.

Pada Jumaat, kira-kira 140 daripada 3,500 sekolah menengah ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya, jauh berkurangan berbanding hari-hari sebelumnya. Bagaimanapun, satu lagi hari demonstrasi dijadualkan berlangsung Selasa depan.

Pengumuman Geffray itu merupakan konsesi konkrit pertama kerajaan terhadap tuntutan penunjuk perasaan.

Semua pihak dalam sektor pendidikan Perancis sejak sekian lama mengakui terlalu banyak waktu persekolahan terjejas akibat ketidakhadiran guru dan kegagalan menggantikan mereka dengan guru ganti yang tersedia.

Menteri itu berkata, penggunaan perisian baharu di kementeriannya membolehkan 3,000 guru ganti ditempatkan di kira-kira 500 sekolah menengah yang dikenal pasti paling memerlukan bantuan.

Kebanyakan sekolah berkenaan dijangka terletak di pinggir bandar dengan kadar imigresen tinggi, iaitu kawasan yang paling teruk terjejas akibat kekurangan guru.

Geffray turut berkata, peruntukan tambahan akan disediakan menerusi skim sedia ada bagi guru yang bersedia mengambil waktu kerja lebih masa untuk mengisi kekosongan.

Beliau juga berjanji tuntutan pelajar akan dipertimbangkan dalam perbincangan mengenai peruntukan sektor pendidikan bagi Belanjawan Negara 2027 yang akan datang.- BBC

The post Perancis tambah 3,000 guru ganti susulan protes appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved