PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan menanggung peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat, dengan subsidi RON95 kini dianggarkan meningkat kepada kira-kira RM2 bilion berbanding sekitar RM700 juta sebelum ini manakala subsidi diesel turut naik kepada RM1.2 bilion sebulan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peningkatan harga minyak mentah global telah memberi implikasi langsung kepada perbelanjaan kerana kerajaan masih mengekalkan harga bahan api bagi melindungi rakyat.
Menurutnya, harga minyak penanda aras Brent melonjak dengan mendadak dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.
“Kalau kita pakai Brent sebagai penanda aras, telah naik daripada AS$60 setong dan mencecah setinggi AS$119 setong dan kini adalah sekitar AS$100 setong,” katanya pada sidang akhbar khas di sini pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, kenaikan harga minyak tersebut bermakna jumlah subsidi yang perlu ditanggung kerajaan turut meningkat dengan ketara.
“Ini menunjukkan kesan langsung konflik di Asia Barat terhadap pasaran tenaga dunia. Malaysia memang terkesan dari segi harga tetapi dari segi bekalan, Alhamdulillah mencukupi.
“Walaupun harga pasaran telah naik mendadak, kita mengekalkan harga domestik kerana penting untuk rakyat. Beban ini kita boleh tanggung hasil daripada reformasi dan konsolidasi fiskal yang dijalankan dalam tiga tahun terakhir,” jelas Amir Hamzah.
Menurut beliau, langkah itu seiring dengan usaha kerajaan menyokong rakyat melalui program BUDI95, termasuk BUDI Individu dan BUDI Agro Komoditi.
“Program ini memberi sedikit kelegaan kepada rakyat dalam menghadapi kenaikan kos barangan yang berkaitan dengan harga minyak,” ujar beliau.
Amir Hamzah menjelaskan Malaysia masih mempunyai bekalan petrol dan diesel yang mencukupi, hasil usaha Petronas dan syarikat minyak tempatan dalam mengekalkan pengeluaran serta memperluaskan storan tenaga.
“Kita ada kapasiti pengeluaran gas domestik, kapasiti penapisan dan penyimpanan yang baik. Jadi dari segi bekalan, tiada gangguan seperti di beberapa negara lain,” tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, prestasi pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada 2025 dijangka akan terus menjadi pemangkin kepada momentum pada tahun ini meskipun negara berdepan dengan ketidaktentuan global serta cabaran geopolitik.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi pada 2025 yang melebihi sasaran kerajaan juga menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh, sekali gus memberi sokongan kepada prospek pertumbuhan pada tahun ini.
“Alhamdulillah...Tahun lepas kita dapat lihat ekonomi Malaysia kembali rancak. Pada suku keempat bagi tahun 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 6.3 peratus dan keseluruhan tahun itu 5.2 peratus yang dipacu oleh pembaharuan ekonomi yang ada, domestic investment yang berlaku dan spending yang ada dalam negara.
“Kita rasa isu-isu ini akan terus ke mempengaruhi dalam tahun ini. Jadi insya-ALLAH kita bermula dengan keadaan yang lebih stable dan lebih kuat daripada apa yang ke depan,” katanya.


