
WASHINGTON: Bekalan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) berada pada paras terendah dalam tempoh 45 tahun ketika perang Iran yang bermula pada 28 Februari terus menghakis rizab strategik negara itu.
Data Penyelidikan Global Bank of America menunjukkan tahap Rizab Petroleum Strategik (SPR) AS kini berada pada paras terendah sejak 1983, menyebabkan negara itu hanya mempunyai bekalan minyak mentah untuk kira-kira 43 hari.
Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sedang mengeluarkan minyak daripada rizab berkenaan bagi menangani peningkatan kos tenaga dicetuskan oleh penutupan Selat Hormuz, yang membawa sehingga satu perlima daripada jumlah pengangkutan petroleum dunia setiap hari.
Sepanjang lima bulan konflik, selat itu ditutup oleh Iran kepada lalu lintas kapal-kapal dari negara yang menjadi musuh Teheran sekali gus menggoncang pasaran tenaga global dan mencetuskan ketidakstabilan harga minyak mentah.
Sebagai tindak balas, Trump mengarahkan pengeluaran sebanyak 172 juta tong minyak daripada rizab domestik dalam tempoh 120 hari.
Kira-kira 108.6 juta tong minyak mentah telah dikeluarkan setakat ini, manakala jumlah stok semasa berada pada kira-kira 304.8 juta tong, menurut data kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, pada Jun, Trump memberi amaran supaya tidak terlalu bergantung kepada rizab strategik untuk memastikan negara terus mempunyai bekalan minyak ketika perang.
“Kita akan kehabisan rizab dalam kira-kira empat minggu,” kata Trump kepada pemberita pada 17 Jun.
“Kita benar-benar akan kehabisan dan akan tiba masanya apabila anda tidak lagi dapat mendapatkannya dan adakah anda mahu melihat keadaan menjadi huru-hara,” ujarnya.
Pada hari yang sama, Trump menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Iran dalam usaha bergerak ke arah perdamaian di rantau itu.
Perjanjian itu bertujuan menyediakan laluan ke arah penghapusan program nuklear Iran dan memastikan pelayaran selamat kapal melalui Selat Hormuz dalam tempoh gencatan senjata yang dilanjutkan.
Bagaimanapun, perjanjian itu tidak bertahan lama dan serangan disambung semula pada 8 Julai.
Harga minyak mentah melonjak hampir 5 peratus pada 8 Julai. Minyak mentah Brent meningkat 5.2 peratus untuk ditutup pada AS$78.02 (RM319) setong.
Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula meningkat 4.4 peratus kepada AS$73.52 (RM300) setong.
Masalah sama ada Iran akan membuka Selat Hormuz kini bergantung kepada AS apabila Kor Pengawal Revolusi Iran pada Ahad berkata, mereka tidak akan membuka semula Selat Hormuz, yang penting kepada ekonomi dunia, sehingga AS memenuhi syarat seperti ditetapkan Teheran sehari sebelumnya, termasuk tuntutan pampasan atas kerosakan akibat perang.
Ketua keselamatan Iran, Mohammad Bagher Zolghadr pada Sabtu mengemukakan senarai tuntutan bagi pembukaan semula Selat Hormuz, termasuk penamatan perang dan pencerobohan terhadap Iran termasuk sekutunya di Lubnan, Palestin, Yemen dan Iraq.
Beliau turut menuntut supaya sekatan balas AS terhadap pelabuhan Iran ditarik balik, sekatan ekonomi ditamatkan, aset Iran yang dibekukan dibebaskan dan pampasan diberikan bagi kerosakan akibat perang, menurut kenyataan yang dilaporkan agensi berita Tasnim.
The post Perang Iran susut rizab minyak AS selagi Selat Hormuz tidak dibuka appeared first on Utusan Malaysia.





