Perang Tarif Trump tidak jejas operasi sektor elektronik di Malaysia – penganalisis

LocalBusiness & Finance
14 Apr 2025 • 12:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perang Tarif Trump tidak jejas operasi sektor elektronik di Malaysia – penganalisis

image is not available

14/04/2025 - 12:37

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 April - Walaupun perang tarif antara negara kuasa besar semakin ketara, penganalisis menjangka tiada pemindahan besar-besaran kilang perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat susulan pelaksanaan Tarif Perdagangan AS.

Kos operasi yang tinggi, kekangan kapasiti dan kesinambungan aktiviti penyumberan luar dikenal pasti sebagai faktor utama yang menghalang pemindahan sepenuhnya operasi ke AS.

Bagaimanapun, Apex Securities berpendapat, perang tarif itu berpotensi menyebabkan penyusunan semula tempahan, khususnya bagi peranti pengguna yang kurang kompleks.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) menjangka, pemain industri EMS bakal berdepan kelewatan penghantaran, susulan rundingan perdagangan AS yang masih berlangsung serta permintaan yang lemah dalam sektor elektronik pengguna.

Dalam jangka masa terdekat, Maybank IB menjangka pelanggan akan terus menanggung kos tarif di bawah perjanjian sedia ada.

Firma penyelidikan itu juga masih berpandangan positif terhadap sektor EMS dan percaya Malaysia masih berada pada kedudukan yang baik berbanding negara ASEAN lain kerana kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia ketika ini adalah lebih rendah.

"Kita masih berpeluang menarik aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini, namun beberapa kelewatan dijangka berlaku," menurut Maybank IB dalam satu nota kajian.

Firma itu juga menasihatkan pelabur supaya memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai operasi dan produk yang pelbagai serta keupayaan mengekalkan pelanggan yang kukuh.

"Penilaian semasa saham-saham dalam sektor ini dilihat lebih menarik," tambahnya.

Berdasarkan analisis kepekaan yang dijalankan, Maybank IB menjangka setiap penurunan 10% dalam hasil pendapatan boleh menyebabkan penurunan nilai syarikat sebanyak 10% hingga 30%, bergantung kepada struktur margin masing-masing. - DagangNews.com

standard